Tuesday 21 May 2013

IDEALISME DAN FALSAFAH MELAYU


Pengenalan
Idealisme dan falsafah merupakan dua elemen sastera yang saling bertentangan. Penggunaan kedua-dua elemen ini ke dalam sesuatu karya sastera, iaitu karya agung khususnya amat popular dalam kalangan pengkarya-pengkarya satu ketika dahulu. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, idealisme bermaksud sifat melihat atau mencita-citakan sesuatu dalam bentuk yang ideal (2010: 558). Menurut W.F Hocking pula, idealisme merupakan realiti yang terdiri daripada idea-idea, fikiran-fikiran, akal (mind) atau jiwa (selves) dan bukanlah kekuatan atau kebendaan. Berdasarkan pendefinisian tersebut, jelas menunjukkan bahawa idealisme memerlukan daya imaginasi yang tinggi dan kreatif untuk menghasilkan sesuatu bentuk karya sastera.
      Bagi maksud falsafah pula, ia dimaksudkan sebagai pengetahuan tentang pengertian yang dianggap sebagai ilmu yang tertinggi yang menjadi dasar kepada ilmu-ilmu yang lain (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2010: 406). Ilmu yang dimaksudkan tersebut adalah pengetahuan yang amat luas kepada sesuatu bentuk hakikat yang mendasari kepada semua ilmu berkaitan dengan hal tersebut. Bagi Hashim Hj. Musa pula, falsafah disifatkan oleh beliau sebagai kajian secara renungan dan spekulatif terhadap punca, keadaan dan sifat seluruh pengetahuan manusia yang menjadi sari pati bagi seluruh bidang pengetahuan manusia. Pentakrifan yang dibuat oleh tokoh Melayu ini masih lagi berkisar mengenai cakupan keseluruhan ilmu dan bidang tentang pengetahuan manusia.
      Kedua-dua elemen ini diadaptasikan oleh tokoh-tokoh sastera ke dalam karya mereka untuk memperjelaskan lagi tujuan dan idea yang ingin disampaikan dalam sesuatu karya agung itu. Hal ini demikian kerana, elemen-elemen tersebut amat sesuai dan bertepatan dengan kehendak pembaca. Dalam pada itu, para pengkarya itu juga menerapkan kedua-dua elemen ini agar para pembaca dapat membuat penganalisisan tentang sesuatu karya tersebut dengan lebih mudah.
      Jelaslah bahawa penerapan idelisme dan falsafah dalam sesuatu karya agung amat diperlukan dalam pengoperasian sesuatu karya agung. Dalam pembicaraan yang dilaksanakan tertumpu kepada empat, iaitu idealisme bersumberkan alam, falsafah bahasa, falsafah Islam dan falsafah Melayu.

*Idealisme Bersumberkan Alam
Sesebuah karya seharusnya memiliki falsafah, pemikiran dan persoalan yang agung dan penting. Hal inilah yang disebutkan oleh tokoh pengkritik karya sastera, Greek Dionysus Cassius Longinus. Hal ini membuktikan bahawa sesebuah karya sastera, terutamanya karya agung pasti memiliki ciri pemikiran tertentu yang juga disebut sebagai idealisme. Seterusnya, idealisme yang akan dibincangkan dalam karya agung Melayu adalah idealisme karya yang bersumberkan alam. Perbincangan berdasarkan idealisme yang bersumberkan alam ini dapat dikategorikan kepada beberapa pecahan, misalnya berkaitan tumbuh-tumbuhan, haiwan, angkasa, sosialisasi dan sebagainya. Kehidupan manusia tidak lari daripada alam, malah banyak perkara yang berlaku dalam kehidupan sebagai seorang manusia sering dikaitkan dan diumpamakan dengan alam ciptaan Tuhan, tidak kira dari segi tumbuhan, haiwan, angkasa, lautan mahupun hubungan antara masyarakat, iaitu sosialisasi.
Hal ini banyak diungkapkan dalam karya-karya agung Melayu klasik. Mortimer Jerome Adler menyatakan, berdasarkan isu utama berkenaan tumbuh-tumbuhan, haiwan dan manusia sebagai bentuk hidupan yang berkesinambungan atau jelas berbeza, maka kajian organisma haiwan – anatomi dan fisiologinya – memperoleh banyak kepentingannya (2007: 12).  Bukan sahaja pada satu bahagian, malah pada ketika menulis manusia juga tidak dapat lari dari dikaitkan dengan alam. Bagi membuktikan hal ini, jadual di bawah disediakan untuk memaparkan antara contoh karya agung yang penulisan, pemikiran atau idealismenya berhubungkait serta bersumberkan alam.

Sumber
Contoh
Lautan
“Maka Raja Suran fikir dalam hatinya, ‘Bahawa isi darat telah aku ketahuilah, dan segala isi laut bagaimana gerangan rupanya? Jika demikian, baik aku masuk ke dalam laut, supaya aku ketahui betapa halnya.’”
(Sulalat al-Salatin, 2003: 14)
Petikan ini menunjukkan bahawa penulis berasa perlu untuk memasukkan unsur alam dalam pengkaryaannya meskipun kadangkala dilihat hal itu tidaklah begitu penting. Hal ini membuktikan bahawa kaitan antara manusia dan alam seperti lautan juga adalah sesuatu yang dianggap sebagai keperluan.
Api dan air
“Bahawa demikianlah susahnya aku ini dipeliharakan oleh ibu bapaku: seperti meniup api dalam air, adanya.”
(Hikayat Abdullah, 2004: 15)
Petikan ini pula menunjukkan terdapat penggunaan perumpamaan yang dikaitkan dengan kehidupan manusia melalui kepengarangan kisah hidup Abdullah yang ditulis oleh beliau sendiri.
Kaitan antara manusia
“Maka sebab itulah kata arif: Apabila engkau dapat wang, belikan emas; maka jualkan pula emas itu, belikan pula intan; maka jualkan pula intan itu, belikan manikam; jualkan pula manikam itu, belikan ilmu. Maka demikianlah besar kemuliaannya itu serta dengan teguh setianya kepada orang yang mendapat dia itu.”
(Hikayat Abdullah, 2004: 20)
Dalam penulisan karyanya, Abdullah Munshi turut memasukkan kata-kata dari bijak pandai yang menunjukkan bahawa beliau mengambil tahu hal ini daripada orang yang lebih arif. Kebiasaannya juga, hal ini dikatakan oleh orang berilmu dan orang tua-tua kepada orang muda. Hal ini menunjukkan idealisme bersumberkan alam berkaitan hubungan sesama manusia dalam hidup bersosial.
Alam
“Maka adalah ia itu diumpamakan seperti suatu tiang batu adanya. Maka barang betapa berat ia ditanggungkan di atasnya, ditahannya juga. Maka jikalau sekiranya terlampau daripada adat beratnya itu, remuklah ia, patah sekali, tetapi tiada ia tahu melentur atau bongkok, seperti tiang kayu dan sebagainya.”
(Hikayat Abdullah, 2004: 20)
Petikan ini juga menunjukkan pemikiran atau idealisme penulis karya agung dalam mengaitkan penulisannya dengan sumber alam di sekelilingnya.



*Falsafah Bersumberkan Islam
Falsafah karya agung terutamanya karya agung dunia Melayu turut diilhamkan oleh pengarangnya melalui agama Islam yang menjadi pegangan agama majoriti bangsa Melayu. Hal ini dibuktikan melalui sebuah buku daripada Yayasan Karyawan (2000: 13) yang menyatakan tiga faktor utama terhasilnya karya agung Melayu iaitu; a) kekuatan bahasa Melayu, b) pengaruh Islam, dan c) peranan istana dan sekolah pondok. Hal ini membuktikan bahawa falsafah yang terdapat dalam karya agung terdapat juga yang bersumberkan Islam, iaitu memperlihatkan keislaman dalam penghasilan karya.
Setelah pengaruh agama Hindu menjadi pudar dalam diri masyarakat Melayu, munculnya Islam di dalam dunia Melayu. Sekitar abad ke-12 dan ke-13, beberapa buah kerajaan Melayu-Islam telah ditubuhkan di Perlak (Pasai). Perkara ini menyebabkan berakhirnya pengaruh kerajaan Melayu-Srivijaya yang pada masa tersebut masih dalam kekuatan pengaruh Hindu. Agama Islam seterusnya disebarkan secara meluas, bukan sahaja dalam kalangan alim ulama’ tetapi juga turut disebarkan kepada rakyat.
Pada ketika ini dikatakan masyarakat Melayu masih menggunakan bahasa lisan sehinggalah tiba suatu ketika apabila masyarakat Melayu sudah mula mempelajari abjad Arab untuk menulis bahasa Melayu. Dengan bermulanya perkembangan tulisan ini, bermulanya suatu zaman baru dalam dunia Melayu, iaitu zaman perkembangan ilmu dan pemikiran yang didasarkan kepada ajaran agama, iaitu tauhid dan pandangan Islam sejagat. Hal ini juga dapat dikaitkan dengan istana kerajaan Melayu-Islam pada zaman tersebut yang menjadi pendukung kepada kegiatan penulisan yang membentuk warisan bangsa.
Kitab al-Qur’an merupakan sumber utama kepada falsafah Islam kerana al-Qur’an adalah kitab petunjuk dan rahmat buat sekalian alam. Mohd Rashid Md Idris ada menyatakan bahawa al-Qur’an itu adalah kitab yang Haq dari yang maha Haq, tiada keraguan, tiada kebengkokan, tiada kesilapan dan kesalahan, tiada percanggahan dan pertentangan, kitab yang terpelihara, kitab yang diberkati, kitab yang menjadi cahaya dan penghidup jiwa, kitab yang menjadi penjelas dan penerang, kitab yang menjadi penawar dan pengubat jiwa, dan kitab yang menjadi pemutus kata (2007: 53).
Hal ini membuktikan bahawa Islam dan falsafahnya memberikan seratus peratus keyakinan kepada penganut agamanya. Hal ini juga menyebabkan masyarakat Melayu-Islam sejak dahulu sangat yakin akan kebaikan menurut ajaran seperti yang dinyatakan dalam agamanya. Dengan itu, tidak hairanlah di dalam penulisan pengkarya klasik dahulu kala terutamanya mereka yang beragama Islam seperti Nuruddin al-Raniri, Tun Sri Lanang, Raja Ali Haji, Munshi Abdullah dan tokoh-tokoh yang lain suka untuk mencetuskan pemikiran berasaskan falsafah Islam dalam karya mereka.
Hal ini dapat dilihat dalam contoh yang terdapat dalam penghasilan karya Sulalat al-Salatin karya Tun Sri Lanang. Agama Islam menyarankan seseorang rakyat untuk mentaati pemerintahnya selagi pemerintah tersebut tidak berlaku zalim. Kesetiaan seorang rakyat kepada sultan ini dibuktikan melalui penghasilan karya Sulalat al-Salatin yang merupakan titah sultan kepada seorang pengarang, iaitu Tun Sri Lanang. Titah tersebut dinyatakan dalam karya Sulalat al-Salatin yang berbunyi;

“diperbuatkan hikayat [….] perteturun segala raja-raja Melayu dengan istiadatnya, supaya didengar oleh anak cucu kita yang kemudian dari kita dan diketahuinyalah segala perkataan, syahadan beroleh faedahlah mereka itu daripadanya”
(Sulalat al-Salatin, edisi Karya Agung, 1993: 3)

Pengarang menunjukkan ketaatan dengan menjunjung perintah sultan yang membawa kepada keberlanjutan warisan sejarah bangsa kepada generasi terkemudian. Hal ini dibuktikan melalui tulisan pengarang dalam kitab ini juga, iaitu;

“Maka fakir karanglah hikayat ini [….] dan fakir himpunkan daripada segala riwayat orang tuha-tuha dahulu kala supaya akan menyukakan duli hadhrat baginda”        
      (Sulalat al-Salatin, edisi Karya Agung, 1993: 4)

Selain itu, terdapat juga karya-karya agung lain yang menerapkan unsur keislaman ini. Misalnya dalam karya Hikayat Abdullah hasil karangan Abdullah Abdul Kadir Munshi, pendidikannya sedari kecil sangat menitikberatkan hal-hal keagamaan dan keilmuan. Hal ini dapat dilihat berdasarkan petikan daripada karya tersebut, iaitu;

“Adapun ilmu dan kepandaian itu menjadi tangga kepada pangkat kekayaan, dan kekayaan itu membawa kepada kebesaran. Maka bahawasanya segala benda yang dijadikan Allah dalam dunia itu masing-masing adalah dengan harganya, iaitu dapat dinilaikan oleh manusia melainkan ilmu itulah sahaja yang tiada ternilai oleh manusia akan harganya.”
(Hikayat Abdullah, 2004: 19)
Petikan di atas menunjukkan ciri falsafah Islam apabila segala yang dinyatakan berbalik kembali kepada kepercayaan dan kepatuhan terhadap kata-kata Allah. Selain itu, menuntut ilmu juga adalah perkara yang sangat dituntut dalam Islam. Hal ini terbukti melalui kata hikmah yang berbunyi “sesuatu amal seharusnya didahului dengan ilmu”. Kata-kata ini adalah antara kata-kata yang ditekankan dalam agama Islam.
*Falsafah Bersumberkan Melayu
Kehidupan masyarakat Melayu tidak boleh terlepas daripada peraturan dan disiplin. Oleh yang demikian, mereka menerapkan unsur tersebut di dalam karya mereka. Misalnya, mereka menekankan konsep budi dalam kehidupan mereka. Konsep budi tersebut pula terbahagi kepada lima, iaitu budi bahasa, budi pekerti, budi bicara, hati budi dan akal budi (Mohd Rashid Mohd Idris, 2011: 63). Penerapan unsur-unsur tersebut dapat diperhatikan dalam contoh yang berikut:
1)Budi bahasa
Budi bahasa dan budi bicara yang mulia merujuk kepada pertuturan yang manis, sopan, positif, bijaksana, bernas dan penuh pengajaran, serta memberikan sumbangan kepada khalayak dan pendengarnya (Mohd Rashid Idris, 2011: 64). Contoh penerapan unsur ini dalam karya agung dapat dilihat dalam contoh di bawah:
“Pada masa itulah wafat Syeikh Syamsuddin al-Sumaterani iaitu pada malam Isnin 12 haribulan Rejab, pada Hijrah 1039 tahun, bahawa Syeikh itu alim pada segala ilmu tasawuf dan beberapa kitab yang ditaklifkannya.”
(Sumber: Bustan al-Salatin, 1992)
Ini menunjukkan bahawa Nuruddin adalah seorang individu yang mempunyai budi bahasa yang tinggi. Hal ini demikian kerana walaupun beliau bertelagah dengan Syamsuddin, beliau tetap menghormatinya sebagai seorang ulama dan manusia biasa. Ungkapan yang dinyatakan oleh Nuruddin adalah satu pengiktirafan oleh beliau terhadap kewibawaan ulama tersebut.
2)Budi Pekerti
Bagi gagasan budi pekerti, ia lebih terarah kepada akhlak seseorang itu. Namun demikian, unsur kesantunan masih lagi menjadi akar kepada setiap perlakuan yang dihasilkan oleh seseorang individu itu. Menurut Mohd Rashid Md. Idris (2011), budi pekerti adalah satu aspek atau tingkah laku seseorang yang dinilai oleh masyarakat dari sudut baik dan buruk, atau halus dan kasar. Kelakuan tersebut merangkumi kelakuan yang bersopan-santun, tertib dan sebagainya. Nilai ini dapat diperhatikan dalam Syair Ken Tambuhan seperti contoh di bawah:
Jika ia dikasihi raja,
Tiadalah ia melanja-lanja,
Tiadalah menyombong pada bekerja,
Dengan taulannya bersamaan sahaja.          
         (Sumber: Syair Ken Tambuhan)
Dalam petikan di atas, diperlihatkan sifat raja yang mengasihi rakyat dan melayan mereka sama rata. Hal ini demikian kerana, kebanyakan raja pada zaman dahulu kebiasaannya mementingkan kedudukan dan memandang rendah terhadap rakyat. Oleh yang demikian, dalam syair tersebut ditekankan sikap raja yang amat mengasihi rakyat dengan menunjukkan budi pekerti yang baik.
3)Budi Bicara
Pendefinisian budi yang seterusnya pula lebih cenderung kepada unsur toleransi dan tolak ansur dalam setiap perbuatan. Hal ini demikian kerana, kehidupan bermasyarakat yang mementingkan nilai kerjasama bagi mewujudkan suasana yang harmoni dan aman. Dalam karya agung Syair Ken Tambuhan dinyatakan bahawa Raden Menteri seorang suami yang sanggup mencari buah pauh janggi keinginan isterinya yang sedang mengidam. Walaupun hatinya berat untuk meninggalkan isterinya yang berbadan dua, namun kerana kasih dan kasihan kepada isterinya, dia sanggup menghadapi sebarang bahaya. Justeru, sewaktu dia meninggalkan isterinya dan istana, dia berpesan dengan pesanan seperti berikut;
Ia berkata kepada ayah dan bonda,
Puteri sekalian putera anakanda,
Jikalau ada satu bahaya anakanda,
Puteri sekalian putera anakanda.      
          (Naskah koleksi DBP: 133/2011)
Petikan yang dinyatakan telah mencerminkan kepada pembaca bahawa nilai budi bicara ini amat dekat dalam kehidupan masyarakat Melayu pada ketika dahulu. Malahan nilai ini turut diterapkan dalam kehidupan berkeluarga khususnya.
4)Hati Budi
Hati budi pula bolehlah dikaitkan dengan istilah hati yang baik atau baik hati. Untuk melahirkan hati yang baik, seseorang itu perlu diasuh sejak kecil kerana kesucian hati akan menentukan perlakuan yang baik, tingkah laku yang bersopan dan akan dihindari daripada segala sifat-sifat yang negatif dan buruk. Aspek ini juga tidak lupa diterapkan dalam karya klasik Melayu. Sebagai contoh, ia dapat dilihat dalam petikan karya Bustan al-Salatin;

“kemudian dari itu maka kerajaan Sultan Hussain ibn Sultan Alaudin yang bergelar Sultan Ali Riayat Syah, pada hari ahad, sehari bualn Safar. Ialah sangat halm perangainya dan pengasih akan segala rakyatnya akan segala ulama, syfakat akan segala fakir dan miskin.”
                   (Sumber: Bustan al-Salatin (selenggaraan) Siti Hawa Hj Salleh, 1992)
Petikan di atas menggambarkan seorang raja yang yang mempunyai hati budi yang baik yang mana beliau sangat mengasihi rakyat jelatanya walaupun beliau terdiri daripada golongan raja. Beliau sanggup menderma kepada rakyat yang memerlukan. Beliau amat mengasihi rakyat jelata sehinggakan segala kesusahan rakyat diambil tahu.
5)Akal Budi
Pertimbangan akal sangat diperlukan dalam kehidupan seharian. Oleh yang demikian, melalui pertimbangan akal budi yang mementingkan kewarasan fikiran ini akan menentukan sikap seseorang itu sama ada mampu untuk bertanggungjawab dengan setiap perkara yang dilakukannya ataupun tidak. Kebiasaannya dalam masyarakat dahulu nilai ini sangat dipentingkan supaya seseorang individu itu mampu untuk mengurus diri, keluarga dan juga masyarakat. Nilai ini ada diselitkan dalam karya agung yang terdahulu. Contohnya dalam petikan yang berikut:
Namanya Raden Puspa Kencana,
Lakunya bijak laksana,
Akal bicaranya amat sempurna,
Sifatnya lengkap hamba laksana
(Sumber: Syair Ken Tambuhan, 2002: 5)
Pengarang menerangkan dalam syair tersebut berkaitan watak Raden Puspa Kencana yang sangat bijak dan cerdik. Hal ini terbukti apabila penyair menyatakan bahawa tidak ada seorang yang dapat mengalahkan beliau jika diajak untuk lawan berdebat. Nilai ini diselitkan dalam syair tersebut supaya mereka mencontohi sikap Raden Puspa Kencana yang bijak bagi mengelakkan diri daripada ditindas oleh orang lain.
*Falsafah Bahasa
*Konsep
Falsafah bahasa merupakan gabungan dua perkataan, iaitu falsafah dan bahasa. Namun kedua-dua entiti ini membawa kepada pemaknaan yang berbeza sama sekali. Falsafah merupakan gabungan dua kata, iaitu istilah Yunani philo (cinta) dan sophos (hikmat). Kebenaran dan keutamaan kata yang dibawa oleh Phytogras ini dapat disimpulkan sebagai pencinta kebijaksanaan. Bagi pendefinisian bahasa pula, merujuk kepada sistem lambang dan bunyi suara yang dipakai sebagai alat perhubungan dalam lingkungan satu kelompok manusia (Kamus Dewan Edisi keempat, 2010: 106).
Bagi Von Humboldt, iaitu seorang sarjana Jerman bahasa didefinisikan sebagai sintesis bunyi (dalam Mohd Rashid Md Idris, 2012: 8). Melalui pentakrifan yang dibuat dapat dinyatakan kesimpulan bahawa bahasa adalah satu medium yang diguna pakai oleh masyarakat untuk menyampaikan konsep atau lebih tepat lagi untuk berkomunikasi antara satu sama lain. Namun demikian, penggabungan kedua-dua elemen ini dapat membawa kepada sesuatu bentuk pengetahuan yang lebih unggul. Menurut Hashim Hj, Musa (1996), bidang falsafah terbahagi kepada dua bahagian, iaitu falsafah linguistik dan falsafah bahasa. Pembicaraan tentang falsafah linguistik merangkumi kepada cakupan dasar falsafah dalam konsep dan istilah linguistik. Hal ini merujuk kepada penelitian tentang kaedah dan amalan yang digunakan oleh ahli-ahli linguistik deskriptif dalam disiplin mereka (Mohd Rashid Md Idris, 2012: 9). Bagi falsafah bahasa pula, aspek ini meneliti dan memeriksa berasaskan falsafah pengetahuan yang dipanggil conceptual knowledge atau ilmu dalam bentuk konsepsi, yang wujud dalam fikiran secara ilmu (knowledge), logik dan sebagainya. Oleh hal yang demikian, dapat dirumuskan bahawa falsafah bahasa merupakan bidang yang menelusuri tentang sesuatu aspek bahasa dengan menggunakan konsep pengetahuan dan penggunaan dasar yang lebih mendalam bagi mencari kebenaran dalam setiap aspek yang ingin dikaji.
*Teori Falsafah Bahasa 
Dalam falsafah bahasa ini, terdapat satu gagasan teori yang dikaji oleh Mohd Rashid Md Idris, iatu teori falsafah bahasa yang menggabungkan dua teori lain. Teori yang dimaksudkan adalah teori relatif dan teori kenuranian bahasa. Menurut beliau, manusia mempunyai bahasa dan dapat berfikir tetapi binatang tidak, kecuali dalam bentuk yang amat primitif dan erat hubungannya dengan naluri binatang tersebut. Beliau menegaskan bahawa manusia dianugerahi Allah S.W.T dengan bahasa dan akal semata-mata untuk mengangkat martabat manusia sebagai makhluk ciptaan yang sebaik-baik kejadian. Oleh yang demikian, beliau menggunakan kerelevanan idea tersebut untuk menggabungkan kedua-dua teori tersebut kerana berpendapat kedua-dua unsur tersebut tidak boleh difikirkan secara terpisah.
Dalam teori yang digunakan oleh beliau, terdapat tiga bahagian yang dikemukakan, iaitu bulatan, anak panah (dua hala) dan garisan putus-putus. Bahagian ini dapat dijelaskan dalam rajah di bawah:
                 
               Rajah 1: Model Falsafah Bahasa
Berdasarkan rajah di atas, tiga aspek yang ditonjolkan adalah bulatan yang bermaksud keadaan yang mana memerlukan manusia untuk berbahasa secara sempurna, iaitu dari aspek nahu, makna dan tujuannya. Bahagian kedua pula adalah anak panah (dua hala) yang menggambarkan wujudnya hubungan langsung secara tersurat antara penutur dan pendengar. Aspek yang terakhir adalah garisan putus-putus yang memaparkan hubungan secara tersirat antara manusia dengan Maha Pencipta, iaitu Allah (Mohd Rashid Idris, 2012: 43).
*Prinsip Asas Pertama Dalam Teori Falsafah Bahasa: Berbahasa Mengikut Nahu
Secara umumnya, aspek ini menekankan tentang aspek tatabahasa dan makna ketika seseorang penutur itu berbahasa. Misalnya dalam karya agung Melayu yang menggunakan  bahasa untuk menyatakan sesuatu gambaran tentang kehidupan masyarakat Melayu. Dalam sejarah Melayu misalnya, menceritakan tentang kemasukan agama Islam ke Melaka, Sultan Muhammad Syah mengambil berat tentang tiga daripada lima Rukun Islam (Haron Daud, 1989: 45). Contohnya:
“Hatta, maka hari pun asarlah; maka datanglah kapal dari Judah. Serta ia… lalu ia bersembahayang di pantai Melaka itu.”
Petikan tersebut menggambarkan Saiyid Abdul Aziz mendirikan sembahyang dan mendapat perhatian ramai. Penulis memfokuskan kepada makna yang sempurna daripada petikan ayat tersebut yang menggambarkan perlakuan tersebut untuk menyedarkan tentang kepentingan menunaikan solat.
*Prinsip Asas Pertama Dalam Teori Falsafah Bahasa: Berbahasa untuk Menyampaikan Maklumat yang Benar
Dalam berbahasa, penutur haruslah menyampaikan sesuatu maklumat yang benar dan tidak berbaur fitnah.  Misalnya dalam sejarah Melayu, yang mana Hang Tuah difitnah oleh pembesar lain sehinggakan Hang Tuah dijatuhkan hukuman bunuh. Dalam hal ini, pemfitnah tidak akan memperolehi sebarang kebaikan malahan hanya akan merugikan diri sendiri. Malah Allah juga ada berfirman:
“Wahai orang-orang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan ucapkanlah perkataan yang benar”                                                                
(dalam Mohd Rashid Mohd Idris surah al-Ahzab 33: 70)
*Penutup
Rumusannya, setiap karya atau penulisan pastinya mempunyai idealisme dan falsafahnya yang tersendiri. Hal ini berkait rapat dengan diri seseorang penulis itu sendiri. Setiap penulis mempunyai kecenderungan tersendiri untuk mengaitkan penulisannya dengan falsafah dan pemikiran tertentu, misalnya berkaitan dengan idealisme bersumberkan alam, falsafah bersumberkan Islam, falsafah bersumberkan Melayu mahu pun falsafah bahasa. Raja Ali Haji misalnya berkecenderungan mengaitkan penulisannya dengan Islam, manakala Abdullah Munshi pula biasanya menulis karya yang tidak lari daripada bahasa dan alam, iaitu dari aspek sosialisasi dan pelbagai lagi kecenderungan penulisan dalam menyampaikan falsafah dan pemikiran mereka dalam penulisan. Segalanya berkaitan dengan kehidupan manusia dan tidak lari dari dimasukkan unsurnya di dalam sebuah penulisan yang menarik dan berkesan. 

Sumber:


A. Samad Ahmad, 2003. Edisi Pelajar Sulalatus Salatin Sejarah Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Abdullah bin Abdul Kadir munsyi (diperkenalkan oleh Kassim Ahmad), 2004. Hikayat Abdullah. Selangor Darul Ehsan: Utusan Printcorp Sdn. Bhd.
Mohd Rashid Md Idris (2012). Teori Falsafah Bahasa (Teori Rashid). Perak: Universiti Pendidikan Sultan Idris
Mortimer Jerome Adler, 2007. Sebuah Leksikon Pemikiran Barat Gagasan Agung. Kuala Lumpur: Institut Terjemahan Negara Malaysia Berhad.
Haron Daud  (1989). Sejarah Melayu: Satu Kajian Daripada Aspek Pensejarahan Budaya. Dewan Bahasa Dan Pustaka: Selangor.
Hashim Hj. Musa (1994). Pengantar Falsafah Bahasa. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.
Raja Ali Haji (Dikaji dan Diperkenalkan Oleh: Hashim Musa), 2010. Kitab Pengetahuan Bahas Yayasan Karyawan: Kuala Lumpur
Siti Hawa Haji Salleh (Penyelenggara), 1992. Bustan Al-Salatin. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Syair Ken Tambuhan.Dikaji Oleh: Nuruddin Alraniri.Noriah Mohamed Et.Al:Kuala Lumpur: Yayasan Karyawan Dan Dewan Bhasa Pustaka
Ungku Abdul Aziz Ungku Abd Hamid.( 2011). Pantun Dan Kebijaksanaan Akal Budi Melayu. Dewan Bahasa Dan Pustaka: Kuala Lumpur.
W. G Shellbear, 1975. Sejarah Melayu. Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.

1 comment:

  1. assalamualaikum... salam perkenalan. terima kasih di atas perkongsian ilmu yang berguna ini.Mohon share untuk rujukan ye. terima kasih.

    ReplyDelete