MANUSKRIP HIKAYAT
HANG TUAH bertulisan
Jawi milik Almarhum Tengku Ibrahim ibni Almarhum Tengku Muhammad menjadi bahan
sumber utama bagi penerbitan Hikayat Hang Tuah buat
kali pertama oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1964 oleh Kassim Ahmad.
Naskhah yang berjaya menambat hati para sarjana pelbagai negara ini bukanlah karya
yang boleh dianggap sebagai karya sejarah. Hal ini jelas dilihat pada perkataan
“Hikayat” yang menjadi pangkal judul karya agung ini. Namun demikian, teks ini
diakui sebagai pelopor bentuk novel Melayu moden yang ditampilkan oleh Syed
Syeikh al-Hadi menerusi Hikayat Faridah Hanum (1925).
Karya kreatif yang memuatkan elemen sejarah dan sastera
ini dimulakan dengan pengenalan dan penubuhan Kesultanan Melayu Melaka yang
berpusat di Singapura sebelum ke Bentan dan Melaka. Susur-galur hikayat ini
dipenuhi pelbagai kisah mengenai kepahlawanan Hang Tuah dan empat bersaudara
iaitu Hang Lekir, Hang Kasturi, Hang Lekiu dan Hang Jebat. Naskhah ini
menampilkan Hang Tuah sebagai seorang legenda yang penuh keramat sama seperti
watak Raja Melaka, Bendahara dan Temenggung yang hidup dari tarikh pembukaan
kota Melaka, namun tidak disebut tentang kematiannya. Unsur realisme magis yang
wujud dalam karya ini mengukuhkan kewujudannya sebagai karya kreatif yang penuh
kemewahan estetik cerita dan bahasa. Hal ini sekali gus menolak usaha
memperkecil karya ini sebagai naskhah tidak logik dan melanggar hukum sejarah.
Epik Melayu Hikayat Hang Tuah mengisahkan
kesetiaan dan ketaatan seorang rakyat terhadap raja. Ketaatan tidak berbelah
bahagi menyebabkan Hang Tuah rela berkorban nyawa demi memenuhi segala kehendak
raja termasuklah menculik Tun Teja yang menjadi idaman raja. Pengkaji mendapati
hikayat ini boleh dibahagikan kepada dua bahagian iaitu bahagian perlawanan dan
bahagian pengembaraan. Wira Hang Tuah yang berjaya memiliki keris Taming Sari
menjadi titik temu dalam naskhah ini.
Satu kisah yang amat penting dalam hikayat ini ialah
pertelingkahan antara Hang Tuah dengan Hang Jebat akibat perbezaan pendapat.
Meskipun Hang Tuah dan Hang Jebat bersahabat sejak kecil hingga dewasa, keengganan
Hang Jebat menerima ketaatan penuh Hang Tuah hingga mengorbankan nyawa
menyebabkan Hang Jebat mengamuk di istana. Rasa ingin menuntut bela atas
kekejaman raja yang menjatuhkan hukuman mati terhadap Hang Tuah ingin dilunasi
Hang Jebat. Akhirnya Hang Jebat mati ditikam Hang Tuah.
Persahabatan, kemanusiaan atau kesetiaan terhadap raja
menjadi fokus persoalan Hang Tuah dan Hang Jebat. Tingkah Hang Jebat ialah satu
usaha baharu pengarang menampilkan pandangan terkini pada era itu mengenai
polemik ketaatan terhadap raja yang tidak berperikemanusiaan.
Pengenalan tambahan oleh sarjana sastera Noriah Mohamed
dalam edisi ini membolehkan khalayak pembaca mendapat satu gambaran yang lebih
jelas dalam meneliti, memahami dan menganalisis karya agung ini. Sekiranya
terdapat segelintir masyarakat sastera yang menanggap bahawa naratif penuh
magis lahir dari dunia Barat, maka pembacaan terhadap karya agung
Hikayat Hang Tuah dalam Tamadun Melayu ini akan
mendedahkan ilmu penulisan kreatif Melayu yang sudah lama dimesrai realisme
magis menerusi watak Hang Tuah berserta segala keistimewaannya.
Sumber:
Sumber:
Hassan Ahmad (2000). Pengenalan konsep dan gagasan karya agung yayasan karyawan. Kuala Lumpur: Yayasan Karyawan.
No comments:
Post a Comment