Tuesday 21 May 2013

ESTETIK DALAM KARYA AGUNG

MAKNA DALAMAN

Konsep Keindahan dari aspek Makna Dalaman

Konsep keindahan amat sinonim dengan karya klasik kerana merupakan antara unsur terpenting yang harus digagaskan oleh pengarang bagi menarik hati pembaca untuk menelaah karya yang dihasilkan. Bahkan dalam hadis Rasulullah S.A.W juga ada menyebut “ sesungguhnya Allah adalah indah dan Ia mengasihi keindahan” (Dr. Farid M. Onn, 1980: 1). Petikan hadis tersebut telah mencerminkan bahawa kepentingan unsur keindahan dalam kehidupan manusia. Oleh hal yang demikian, para pengkarya klasik tidak ketinggalan untuk menerapkan unsur tersebut dalam karya mereka. 
Antara keindahan yang digarap oleh pengarang klasik ke dalam karya adalah keindahan dalaman. Keindahan dalaman merujuk kepada faedah atau manfaat yang ditampilkan oleh seseorang tokoh pengarang dalam karyanya. Dalam tradisi Melayu, ‘faedah’ dipandang sebagai makna didaktik, pengajaran daripada ciptaan yang bersifat keagamaan atau sekular (V.I Braginsky, 1994: 47). 
Sejajar dengan penafsiran terhadap definisi keindahan, karya klasik atau karya agung pula merupakan karya klasik yang telah meninggalkan kesan budaya, pemikiran, pandangan dan falsafah hidup yang berkekalan  dalam ingatan bersama sesuatu bangsa. Bagi aspek karya klasik melayu pula adalah karya yang ditulis atau diungkapkan atau dilisankan( pepatah, pantun, lipur lara dan laian-lain) dalam bahasa Melayu, tidak mengambil kira kelompok bangsa/etnik dalam kawasan Dunia Melayu ini, sama ada orang Semenanjung tanah melayu, atau orang Melayu brunei, atau orang aceh, orang bugis, orang minangkabau dan lain-lain yang menghasilkan karya itu.

Makna Dalaman Karya Melayu Klasik:

Makna dalaman bermaksud makna yang disampaikan secara tersirat oleh pengarang untuk para pembaca yang membaca karyanya. Aspek ini merangkumi pelbagai cabang kerana bergantung kepada tujuan seseorang pengarang itu memancarkan ideanya dalam sesuatu karya klasik tersebut. Makna ini boleh meliputi aspek pemikiran pengarang, nilai yang dibawa oleh pengarang, serta cerminan kepada pegangan hidup dalam sesuatu masyarakat yang dipaparkan.

 Pemikiran Pengarang

Pemikiran pengarang merupakan penampilan makna dalaman dalam  sesuatu karya klasik juga dapat dilihat daripada sikap pengarang yang menampilkan  pengembaraan watak yang baik dan mengandungi unsur-unsur pengajaran yang tinggi dalam sesebuah karya klasik. Fungsi cerita-cerita tersebut pula bukanlah pula sekadar menggambarkan selok-belok nasib wataknya, tetapi menampilkan atau mewujudkan idea melalui imej-imej plastis, memenuhi segenap ‘ruang fikiran’ dengan idea tersebut yang disampaikan melalui imej. Dengan hal itu pula, idea sedemikian membentuk dan mendidik akal pembaca dan pendengar (V. I. Brinsky, 1994: 59)

Misalnya dalam Hikayat Hang Tuah yang mengangkat tokoh pahlawan Melayu yang unggul, iaitu Hang Tuah sebagai watak utama. Menurut pengarang Hikayat Hang Tuah, perpaduan antara raja dan hamba-hamba setianya yang tidak berpecah-pecah menjamin kejayaan Melaka dalam bidang politik dan mendatangkan kemakmuran kepadanya (V. I. Brinsky, 1994: 59). Dalam aspek ini, pengarang ingin menegaskan kepada pembaca dasar kepada kestabilan politik sesebuah kerajaan tidak hanya terletak kepada kebijaksanaan seseorang pemerintah itu memerintah tetapi juga membabitkan kesediaan rakyat untuk bersama-sama dengan golongan pemerintah untuk mengekalkan kestabilan tersebut. Oleh hal yang demikian, pembaca haruslah mengambil teladan daripada kisah yang dicerna oleh pengarang untuk panduan pada masa yang akan datang.



 Nilai

Jika ditelusuri dengan lebih terperinci lagi, karya agung juga mempunyai nilai yang tinggi untuk dijadikan pegangan oleh pembaca. Unsur nilai ini dapat diperhatikan dalam setiap karya yang dihasilkan oleh pengkarya pada waktu itu. Menurut Nik Hassan Basri nik ab. Kadir (2007), nilai ialah segala perbuatan, perlakuan atau tindakan yang bermutu, berdarjat, bertaraf atau elok yang harus dijadikan contoh dan teladan. Nilai yang dipaparkan dalam karya klasik adalah makna dalaman yang ingin ditampilkan oleh pengarang.

Nilai yang tidak lupa untuk dipaparkan oleh tokoh pengarang adalah nilai budaya Melayu. Seperti sedia maklum, Melayu dan budaya adalah dua entiti yang digabungkan menjadi satu. Menjadi sebati dan terus meresap ke dalam nurani masyarakatnya. Nilai-nilai budaya tidak sekadar memaparkan peristiwa sebagai bahan sejarah, soal masyarakat dan kemanusiaan tetapi juga nilai budaya yang dapat menyingkap perihal batin, mata hati, budi dan akal (Siti Zainon Ismail, 1996: 225). Oleh yang demikian, pengarang mengambil nilai ini untuk diterjemahkan dalam karya mereka.

Spiritual
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, spiritual bermaksud hal yang berkaitan dengan atau bersifat rohani atau jiwa (bukan sifat fizikal), rohaniah. Rohani adalah jiwa manusia yang tersirat dan sukar untuk ditafsirkan dengan mata kasar. Spiritual manusia berpusat pada kalbu, dan di dalam kalbu manusia sudah ada potensi-potensi spiritual yang merupakan format dasar kemanusiaan. Hakikat diri manusia adalah diri yang rohaniah/ spiritual yang telah tercipta sebelum adanya tubuh biologis (basyar) ( Ibrahim Abdullah, http://mukmin.com.my/baca.php?kategori=10&id=1747). Berdasarkan maksud yang dinyatakan spiritual lebih kepada lahiriah manusia yang sepatutnya didominasikan oleh akal dan iman.
Dalam karya agung Melayu, elemen spiritual jelas terpampang apabila ditelusuri dengan lebih mendalam lagi. Misalnya, dari aspek kehancuran nilai persahabatan  yang dipancarkan dalam Hikayat Hang Tuah melalui watak Hang Jebat. Seperti yang sedia maklum Hang Tuah mempunyai empat lagi saudara, iaitu Hang Jebat, Hang Lekir, Hang Kasturi dan Hang Lekiu. Dalam fenomena yang ingin diperjelaskan adalah konflik yang dipancarkan oleh pengarang dalam watak Hang Jebat dan Hang Tuah. Hang Jebat dikatakan telah menderhaka kepada raja dan beliau dikatakan ingin menuntut bela di atas kematian sahabatnya Hang Tuah. Namun demikian, Hang Tuah yang dikatakan telah menemui ajal dalam hukuman yang telah dijatuhkan oleh raja ke atasnya, sebenarnya telah disorokkan oleh bendahara Melaka demi keselamatan Kesultanan Melaka telah datang ke istana di saat Hang Jebat mengamuk di istana.
Hal dapat dijelaskan dalam petikan di bawah:
Maka Laksamana pun berseru pula, katanya, ‘ Hai Si Jebat derhaka! Sungguh kau berani tidak melawan! Marilah engkau turun dari istana ini bertikam sama seorang. Maka suara itu pun terdengar kepada Hang Jebat, dikenalnya suara Laksamana, maka dibuaknya peranginan itu, maka dilihatnya Laksamana terdiri di tengah halaman itu. Maka Hang Tuah pun berdebar-debar hatinya.
(Sumber: Hikayat Hang Tuah, 338)   
Dalam petikan di atas, Hang Tuah telah datang ke istana untuk beradu kekuatan dengan Hang Jebat yang sebenarnya menuntut bela di atas kematiannya. Hang tuah sanggup mengenepikan rasa kemanusiaan yang erat, iaitu persahabatan hanya kerana ketaatan kepada pemerintah. Walaupun Hang Jebat merupakan sahabatnya semenjak kecil namun Hang Tuah begitu tega melupakannya untuk kedaulatan negeri.


MAKNA LUARAN

Makna luar merupakan makna selapis yang dapat dilihat pada permukaan teks. Melalui makna luaran, pembaca dapat memahami dengan jelas tentang perkara yang ingin disampaikan oleh pengarang. Terdapat beberapa aspek yang dapat tergolong dalam makna luaran seperti gaya bahasa, penggunaan pelbagai bahasa dalam sesebuah karya, pantun dan sebagainya. Aspek-aspek ini memberikan nilai keindahan dalam sesebuah karya sastera seperti Hikayat Hang Tuah.
·         GAYA BAHASA
Gaya bahasa terdiri daripada dua perkataan iaitu perkataan ‘gaya’ dan ‘bahasa’.  Secara umumnya, gaya boleh didefinisikan sebagai cara dan ragam.  Sebagai contoh, jika dilihat pada manusia, gaya yang dimaksudkan ialah cara berpakaian, tingkah laku, cara berinteraksi dan pelbagai lagi.  Bahasa pula merupakan satu sistem yang mewakili benda, tindakan, idea dan perasaan.  Gaya bahasa pula membawa maksud cara atau ragam sesuatu bahasa itu diguna pakai terutamanya dalam penulisan karangan.  Hal ini demikian kerana, melalui penulisan, pembaca tidak boleh mengetahui cara atau tindakan penulis ketika menulis sesuatu perkara.
            Penggunaan bahasa terlalu luas terutamanya dalam bidang komunikasi. Komunikasi boleh berlaku dalam dua keadaan iaitu komunikasi lisan dan komunikasi bukan lisan.  Komunikasi lisan merupakan komunikasi yang berlaku secara terus dan disampaikan melalui perbualan, manakala komunikasi bukan lisan boleh berlaku dalam penulisan.  Gaya dalam komunikasi bukan lisan ialah gaya penulisan yang digunakan oleh seseorang penulis.  Setiap penulis memiliki gaya penulisan yang berbeza walaupun perkara atau topik perbincangan yang ditulis adalah sama. 
            Gaya bahasa dalam kesusasteraan pula merupakan gaya bahasa yang memiliki kesenian dan mengandungi nilai estetik yang merupakan nilai yang mampu membangkitkan perasaan serta mengharukan pembaca sesebuah karya sastera.  Selain itu, gaya bahasa sastera ini juga berperanan untuk menyampaikan maklumat serta merangsang daya pemikiran pembaca.  Penggunaan nilai estetika dalam penulisan ini menjadikan penulisan tersebut memiliki gaya yang tersendiri.  Sebenarnya, dalam kesusasteraan terdapat banyak jenis gaya bahasa.  Antaranya ialah gaya bahasa kiasan, sindiran, hiperbola dan peribahasa.  Melalui karya agung Hikayat Hang Tuah, didapati bahawa terdapat penggunaan keempat-empat gaya bahasa ini.
·         Kiasan
Sebenarnya, peribahasa, perumpamaan, bidalan dan ungkapan merupakan cabang kepada bahasa kiasan.  Bahasa kiasan ini berfungsi menyindir seseorang secara halus dan bersopan.  Bahasa ini juga terbentuk daripada analogi dan perbandingan yang berlaku antara satu perkara dengan perkara yang lain.  Bahasa kiasan ini sebenarnya telah wujud sejak zaman dahulu lagi.  Buktinya, nenek moyang kita telah mula menggunakan peribahasa, perumpamaan, pepatah malah pantun untuk menyindir terutamanya untuk menyindir golongan pemerintah sekiranya terdapat perkara yang tidak kena dengan pemerintahan tersebut.  Penggunaan kiasan ini menunjukkan adanya rasa hormat dalam kalangan masyarakat terutamanya perasaan hormat golongan rakyat jelata terhadap golongan pemerintah. 
Dalam Hikayat Hang Tuah juga terdapat penggunaan unsur gaya bahasa berbentuk kiasan ini. Penggunaan bahasa kiasan dalam hikayat ini tidak lain tidak bukan bertujuan untuk menyindir, di samping memberikan nasihat kepada individu yang disindir.  Antara bahasa sindiran yang digunakan oleh penulis dalam hikayat adalah seperti di bawah, iaitu:
Ular cintamani yang ditangkap oleh Hang Tuah di Pulau Biram Dewa telah digambarkan sebagai :
……..rupanya dan besarnya seperti pisang emas dan warnanya seperti emas sepuluh mutu.

(Dipetik daripada Hikayat Hang Tuah: 43)

Berdasarkan petikan daripada hikayat di atas, didapati bahawa penulis telah menggunakan bahasa kiasan dengan membandingkan saiz pisang emas dan warna emas untuk menerangkan saiz serta warna ular cintamani yang telah ditangkap oleh Hang Tuah di Pulau Biram Dewa.  Seperti yang kita sedia tahu, pisang emas bersaiz dan berdiameter besar, manakala emas sepuluh mutu merupakan emas yang diterangkan sebagai emas yang sangat bermutu tinggi.  Oleh hal yang demikian, didapati bahawa penulis ingin menerangkan warna ular cintamani tersebut sangat bersinar seperti emas yang bermutu tinggi.
Selain ayat di atas, dapat dikenal pasti bahawa penulis telah menggunakan bahasa kiasan ini pada halaman yang lain.  Selain daripada menggunakan bahasa kiasan untuk menyindir, bahasa kiasan ini juga boleh digunakan untuk menggambarkan sesuatu keadaan, benda, perkara atau seseorang.  Berdasarkan ayat di bawa, didapati bahawa penulis berupaya menggunakan bahasa kiasan untuk menggambarkan kecantikan fizikal seseorang wanita.   Ayat yang dimaksudkan adalah seperti di bawah, iaitu:
Kecantikan dan kejelitaan Tun Teja di bandingkan dengan,
……. bulan purnama empat belas haribulan, gilang gemilang, berkilau-kilauan.

(Dipetik daripada Hikayat Hang Tuah: 111)

Berdasarkan petikan di atas, didapati bahawa penulis menggunakan bahasa kiasan untuk menggambarkan kecantikan Tun Teja.  Bahasa kiasan yang digunakan dalam petikan di atas adalah untuk menunjukkan perbandingan unsur alam sekitar dengan rupa paras seseorang.  Didapati bahawa penulis menerangkan kecantikan dan kejelitaan Tun Teja adalah seperti bulan purnama empat belas hari bulan.  Bulan purnama empat belas hari bulan ialah bulan mengambang yang terang dan kelihatan sangat cantik.  Selain itu, penulis juga menyatakan bahawa kecantikan Tun Teja juga seperti bulan yang gilang gemilang dan berkilau-kilauan.  Perkataan gilang gemilang dan berkilau-kilauan memang menggambarkan bahawa rupa paras yang sangat cantik dan berseri-seri.


·         Sindiran
Sindiran merupakan salah satu bentuk bahasa yang termasuk dalam bahasa kiasan.  Bahasa sindiran terdiri daripada tiga jenis iaitu sindiran halus, sindiran tajam dan sindiran kasar. Bahasa sindiran ini merupakan bahasa yang digunakan adalah bertentangan maksudnya dengan perkara yang diujarkan. Selain disebut sebagai sindiran halus, bahasa ini juga dinamakan sebagai ironi dan bukan digunakan untuk mengguris hati, memalukan orang lain, tetapi juga bukan bertujuan untuk tidak mengguris atau memalukan pihak lain. 
Dalam karya agung Hikayat Hang Tuah, penulis banyak menggunakan bahasa sindiran untuk menyindir pihak yang tidak jujur serta pihak yang mendatangkan masalah dalam sesuatu perkara. Penggunaan bahasa sindiran dalam Hikayat Hang Tauh dapat dilihat melalui petikan di bawah, iaitu:
Maka sahut Tun Tuah, “Pada bicara manira, janganlah seperti pelenter itu tiadakan manira tikam, jikalau penggawa Majapahit itu sekalipun manira tikam juga.”
(Dipetik daripada Hikayat Hang Tuah: 153)
Berdasarkan petikan dalam Hikayat Hang Tuah di atas, didapati bahawa Hang Tuah menunjukkan keberanian beliau terhadap Patih Gajah Mada.  Beliau menyatakan bahawa beliau bukan sahaja boleh membunuh pencuri, malah beliau mampu membunuh penghulu bernama Majapahit. 

·         Peribahasa
Peribahasa merupakan salah satu jenis percakapan yang mengandungi kepandaian akal fikiran yang telah disusun serta indah dan sedap didengar.  Sebenarnya, peribahasa ini telah wujud sejak zaman nenek moyang kita lagi.  Mereka mencipta peribahasa berdasarkan kepada keadaan sekeliling dan pemerhatian mereka terhadap perkara yang berlaku di sekeliling mereka.   Peribahasa ini juga sebenarnya merupakan salah satu bentuk bahasa kiasan yang digunakan dalam kehidupan bermasyarakat. Peribahasa ini mengandungi makna tersirat atau lebih dikenali sebagai makna dua lapis iaitu perkara yang diujarkan adalah tidak sama dengan maksud yang ingin disampaikan.
Dalam karya Hikayat Hang Tuah,  penulis turut menggunakan peribahasa yang jarang digunakan mahu pun didengar oleh masyarakat masa ini.  Peribahasa yang digunakan adalah seperti di bawah, iaitu:
Maka sahut Jebat, “Inilah pekerjaan yang sempurna. Sepala-pala jahat jangan kepalang, seperti pantun Melayu: ‘Rosak bawang ditimpa jambaknya,.” Maka Laksamana berkata pula, “Hai Si Jebat, segeralah bukakan aku pintu ini.”
(Dipetik daripada Hikayat Hang Tuah: 356)
Berdasarkan petikan di atas, didapati bahawa penulis menggunakan peribahasa ‘sepala-pala jahat jangan kepalang’ iaitu perkataan yang digelapkan.  Peribahasa ini telah jarang didengar masa ini.  Maksud peribahasa yang digunakan di atas ialah jika sudah terlanjur melakukan kejahatan, jangan berhenti separuh jalan.  Perkara ini membawa maksud Jebat telah menuduh Laksamana Hang Tuah melakukan kejahatan dan menyatakan bahawa kejahatan yang dilakukan itu hendaklah diteruskan sehingga akhirnya.  Jelas dilihat peribahasa yang digunakan di atas bertujuan untuk menyindir sikap Laksamana tersebut.
Peribahasa lain yang terdapat dalam petikan di atas ialah ‘rosak bawang ditimpa jambaknya’.  Peribahasa tersebut membawa maksud seseorang yang mendapat kesusahan akibat daripada perbuatan rakannya sendiri.  Berdasarkan situasi yang berlaku antara Jebat dan Laksamana Hang Tuah dalam petikan di atas, Tuah menyatakan bahawa perbuatan jahat yang berlaku bukan disebabkan oleh dirinya sendiri, malah ia merupakan satu tuduhan yang dilemparkan terhadapnya kerana sikap atau perkara buruk yang telah dilakukan oleh rakannya sendiri iaitu Jebat.

·         STRUKTUR AYAT
Karya agung merupakan karya klasik yang telah wujud sejak dahulu lagi.  Oleh hal yang demikian, penuls banyak menggunakan format penulisan klasik.  Terdapat pelbagai format penulisan karya klasik.  Antaranya ialah penggunaan ayat songsang dan penggunaan ayat yang panjang dan berulang-ulang. 
·         Ayat songsang
Seperti yang kita sedia maklum, susunan ayat biasa ialah didahului dengan subjek dan seterusnya predikat, tetapi, penulisan ayat songsang ialah predikat didahulukan dan diikuti oleh subjek.  Dalam karya klasik sememangnya mengandungi banyak penggunaan ayat songsang.  Perkara ini berlaku disebabkan oleh berlakunya pengaruh bahasa Arab yang terdapat dalam bahasa Melayu klasik.  Dalam karya agung Hikayat Hang Tuah juga ada menggunakan ayat songsang.  Hal ini demikian kerana karya agung yang merupakan karya klasik.  Penggunaan ayat songsang dalam Hikayat Hang Tuah dapat dikenal pasti melalui petikan di bawah, iaitu:
Hatta, berapa lamanya belayar itu, maka nakhoda itu pun hampirlah akan sampai ke Palembang.
(Dipetik daripada Hikayat Hang Tuah: 13)

Setelah sudah bermuat maka nakhoda itu pun turunlah ke perahunya lalu belayar menuju Palembang.
(Dipetik daripada Hikayat Hang Tuah: 13)
Berdasarkan petikan pertama, didapati bahawa subjek bagi ayat tersebut ialah ‘nakhoda itu’, manakala predikat bagi ayat tersebut ialah ‘pun hampirlah akan sampai ke Palembang’ dan ‘ Hatta, berapa lamanya belayar itu’.  Oleh hal yang demikian, ayat tersebut sepatutnya ditulis ‘Nakhoda itu pun hampirlah akan sampai ke Palembang setelah berapa lamanya belayar’.  Merujuk kepada ayat kedua pula, subjeknya ialah ‘nakhoda itu’ dan predikat bagi ayat tersebut ialah ‘pun turunlah ke perahunya lalu belayar menuju Palembang’ dan ‘Setelah sudah bermuat maka’.  Oleh hal yang demikian, ayat yang sepatutnya mengikut rumus subjek + predikat ialah ‘Nakhoda itu pun turunlah ke perahunya lalu belayar menuju Palembang setelah sudah bermuat’.

·         Ayat panjang, berulang-ulang dan berbelit-belit
Ayat panjang, berulang-ulang dan berbelit-belit merupakan salah satu ciri bahasa Melayu klasik.  Penggunaan ayat yang meleret-leret juga dapat dilihat dalam karya klasik.  Penggunaan ayat yang panjang dalam Hikayat Hang Tuah dapat dilihat melalui petikan di bawah, iaitu:
Apabila tuan puteri dan segala isi istana itu mendengar bunyi-bunyian dan melihat segala perintah dewa-dewa turun terlalu banyak datang dengan pakaiannya terlalu indah-indah - rata terbang itu pun dengan perhiasan keemasan – datang mendapatkan Sang Perta Dewa itu bertatahkan ratna mutu manikam, maka Tuan Puteri Pelinggam pun tahulah akan Sang Perta Dewa itu anak raja besar turun dari keinderaan.
(Dipetik daripada Hikayat Hang Tuah: 6)
Berdasarkan pernyataan di atas, didapati bahawa penulis menggunakan ayat yang terlalu panjang untuk menerangkan sesuatu perkara.  Petikan di atas menggunakan 58 perkataan hanya dalam satu ayat.  Bilangan perkataan yang terlalu maksimum dalam satu ayat dapat membuktikan bahawa ayat tersebut ditulis dengan panjang.  Penggunaan ayat yang berulang-ulang dalam karya klasik juga dapat dilihat melalui Hikayat Hang Tuah pada halaman sebelas dan petikan tersebut adalah seperti di bawah, iaitu:
Hatta, berapa lamanya, tuan puteri pun hamillah.  Maka Sang Sapurba terlalu sukacita melihat isterinya hamil itu.  Setelah genaplah bulannya, maka tuan puteri pun berputerakanlah seorang lelaki; terlalu elok rupa dan sikapnya.  Maka Sang Sapurba pun terlalu sukacita hatinya kerana melihat anakanda baginda itu.  Maka dinamai baginda Sang Manika.  Maka dipeliharakan dengan sepertinya.  Syahadan maka baginda pun mengias akan anakandanya dengan inang pengasuh dan pupuk rabun sekalian akan Sang Manika.  Hatta, beberapa lama antaranya, maka tuan puteri pun hamillah.  Setelah genap bulannya, maka tuan puteri berputera pula seorang laki-laki elok rupanya.  Maka dinamai oleh baginda, Sang Jaya Nantaka.  Maka dipeliharakan ayahanda baginda dengan inang pengasuhnya, ditahunya akan anakanda baginda itu jadi raja besar tetapi merasai hal dahulu, makan pagi dan petang pun tiada diperoleh.  Hatta, berapa lamanya, maka tuan puteri pun hamillah pula.  Setelah genap bulannya, maka tuan puteri pun berputeralah seorang laki-laki terlalu elok rupanya. Maka dipeliharanya akan baginda seperti anak yang dahulu itu. Maka dinamai oleh baginda, Sang Saniaka.  Hatta beberapa bulan lamanya, maka tuan puteri pun hamillah pula.  Setelah genap bulannya, maka tuan puteri pun berputeralah seorang laki-laki terlalu elok rupanya dan parasnya.  Maka baginda pun terlalu kasihnya akan anakanda baginda itu, dipeliharakan dengan sepertinya.  Maka dinamai oleh baginda, Sang Satiaka.
(Dipetik daripada Hikayat Hang Tuah:11)
Berdasarkan petikan di atas, didapati bahawa penulis banyak menggunakan frasa ‘maka tuan puteri pun hamillah’ dalam satu perenggan yang sama.  Penggunaan frasa yang sama iaitu sebanyak empat kali dalam satu perenggan membuktikan bahawa karya klasik sememangnya banyak menggunakan pengulangan ayat.

·         BAHASA
Penggunaan bahasa yang pelbagai sangat berleluasa dalam bidang penulisan terutamanya penulisan karya klasik.  Hal ini demikian kerana pada zaman dahulu, masyarakat mempelajari pelbagai bidang bahasa dan kemahiran tersebut diaplikasikan dalam penulisan.  Penggunaan bahasa yang pelbagai ini adalah pengaruh daripada masyarakat Arab, Jawa dan Parsi yang datang ke alam Melayu dengan tujuan perdagangan dan menuntut ilmu.  Selain daripada itu, terdapat juga penggunaan bahasa istana terutamanya dalam aspek gelaran. 

·         Bahasa Sanskrit
Bahasa Sanskrit merupakan bahasa yang digunakan oleh golongan kasta tinggi dalam kalangan masyarakat beragama Hindu.  Oleh hal yang demikian, masyarakat berkasta rendah tidak dibenarkan sama sekali untuk menggunakan bahasa ini.  Pada masa ini, bahasa Sanskrit tidak lagi digunakan dan banyak perkataan daripada bahasa Sanskrit ini telah diserap ke dalam bahasa moden.  Dalam Hikayat Hang Tuah juga ada menggunakan perkataan Sanskrit.  Buktinya dapat dilihat melalui petikan di bawah, iaitu:
… maka baginda pun memandang kepada Laksamana seraya bertitah, “Hai Laksamana, apa bicara Laksamana kita hendak suruh ke Benua Rom itu?”
(Dipetik daripada Hikayat Hang Tuah: 491)
Berdasarkan petikan di atas, didapati penulis menggunakan perkataan Sanskrit iaitu perkataan ‘Laksamana’ yang mana perkataannya digelapkan dalam petikan di atas.  Dalam bahasa Melayu, perkataan ‘Laksamana’ membawa maksud tanda atau markah utama.  Berdasarkan hikayat ini, penulis ingin menegaskan bahawa Hang Tuah yang digelar Laksamana Hang Tuah kerana sifat kepewiraan dan keberanian beliau.  Selain itu, terdapat beberapa lagi petikan yang mana menunjukkan wujudnya penggunaan perkataan Sanskrit dalam Hikayat Hang Tuah.  Petikan di bawah menunjukkan wujudnya penggunaan perkataan Sanskrit, iaitu:
Maka kata syahbandar, “Apatah salahnya yang anakku mengakukan hamba bapa? Adapun yang anakku ini anaklah kepadaku.” Maka kata syahbandar, “Apa nama rajadutanya dan upadutanya?”
(Dipetik daripada Hikayat Hang Tuah: 507)

Tatkala ini Kisna Rayan pun sudah keluar diadap oleh segala raja-raja dan ceteria dan perdana menteri, sida-sida, bentara dan hulubalang sekalian.
(Dipetik daripada Hikayat Hang Tuah: 392)

Adapun bicara manira, mana segala penggawa dan penjurit yang bercakap hendak menikam Ratu Melaka itu, pada ketika inilah baik dititahkan pergi ke Tuban juga; masakan ia sampai ke Majapahit ini.
(Dipetik daripada Hikayat Hang Tuah: 299)
Berdasarkan ketiga-tiga petikan di atas, didapati pengarang Hikayat Hang Tuah menggunakan perkataan Sanskrit.  Dalam petikan pertama, didapati bahawa penulis menggunakan perkataan rajaduta dan upaduta.  Perkataan rajaduta tersebut membawa maksud ketua dalam sesebuah perwakilan atau lebih dikenali sebagai duta besar, manakala upaduta membawa maksud penolong kepada rajaduta atau duta besar tersebut.  Petikan kedua pula memperlihatkan penulis menggunakan perkataan Sanskrit ceteria yang membawa maksud kesatriaan atau hulubalang.  Hulubalang ini merupakan salah satu jawatan dalam sesbuah kerajaan lama.  Seterusnya, penulis turut menggunakan perkataan Sanskrit penggawa dalam petikan ketiga di atas yang membawa maksud ketua atau penghulu kampung.
·         Bahasa Arab
Bahasa Arab merupakan salah satu bahasa yang digunakan oleh penulis zaman dahulu dalam penulisannya.  Hal ini demikian kerana pengaruh bahasa Arab ini berleluasa di alam Melayu akibat daripada masyarakat Arab yang berhijrah serta menuntut ilmu di alam Melayu sehinggakan bahasanya boleh mempengaruhi penulisan karya-karya Melayu.  Hikayat Hang Tuah yang merupakan salah satu karya Melayu tidak terlepas daripada mendapat pengaruh daripada bahasa Arab.  Terdapat pelbagai perkataan Arab yang digunakan dalam karya tersebut.  Contoh perkataan Arab yang digunakan adalah seperti dalam petikan di bawah, iaitu:
Bismi'llahi'rrahmani'rrahim; wabihi nasta'inu bi'llahi'l-a'la. Ini hikayat Hang Tuah yang amat setiawan pada tuannya dan terlalu sangat berbuat kebaktian kepada tuannya.
(Dipetik daripada Hikayat Hang Tuah: 3)

Setelah baginda menengar Tun Tuah demikian itu maka baginda dengan sepah.  Maka disambut oleh Tun Tuah sepah raja itu lalu dijunjungnya serta dimakannya seraya berkata, “Daulat tuanku, insya-Allah Taala, disampaikan Allah Taala juga tuanku ke Majapahit itu dan selamat kembali juga ke Melaka.”
(Dipetik daripada Hikayat Hang Tuah: 132)

Maka dalam hati Tun Tuah. “Ya rabbi, ya saiyidi, ya maulana, ya Tuhanku, Engkau juga yang terlebih tahu dan amat berkuasa dan Engkau juga yang mengetahui dalam hati hambamu bahawa perempuan ini ibuku…
(Dipetik daripada Hikayat Hang Tuah:221)

“Sesungguhnya tuan anak kepadaku.  Bermula pisau itu sebuah negeri dengan isinya tiada kutukarkan. Adapun yang kasih anakku itu Allah Taala juga membalas dia, tetapi insya-Allah Taala, barang di mana tempat anakku itu dipeliharakan Allah Subhanahu wa Taala juga; bala dijauhkan Allah Taala pada kadam.”
(Dipetik daripada Hikayat Hang Tuah: 347)
Berdasarkan keempat-empat petikan di atas, didapati bahawa terdapat penggunaan kata atau frasa Arab iaitu kata atau frasa yang digelapkan.  Dalam petikan pertama, penulis menggunakan frasa Arab iaitu Bismi'llahi'rrahmani'rrahim; wabihi nasta'inu bi'llahi'l-a'la, manakala dalam petikan kedua, penulis menggunakan perkataan Arab insya-Allah Taala.  Dalam petikan ketiga, penulis menggunakan perkataan Arab Ya rabbi, ya saiyidi, ya maulana dan dalam petikan terakhir, penulis telah menggunakan frasa Arab Allah Subhanahu wa Taala.
·         Bahasa Jawa
Bahasa Jawa merupakan salah satu bahasa yang mempengaruhi penulisan karya klasik.  Dalam penulisan Hikayat Hang Tuah turut memuatkan perkataan Jawa terutamanya dalam kisah Hang Tuah ke Jawa.  Penggunaan perkataan Jawa dalam Hikayat Hang Tuah dapat dilihat melalui petikan di bawah, iaitu:
Maka kata Barit Ketika, “Nyaris manira mati bersembunyi di bawah kedai.” Maka Petala Bumi pun berkata, seraya tertawa, “Masakan engkau seorang merasai? Aku pun nyarisnya mati; baik sempat aku menjadikan diriku tunggul.
(Dipetik daripada Hikayat Hang Tuah: 310)
Maka Patih Gajah Mada pun mengarang surat dan bingkis dan segala permainan dua belas ragamnya akan permainan cucunda itu dan perempuan yang baik-baik rupanya yang tahu memalu bunyi-bunyian empat puluh dan anak priyai empat puluh dan keris berulu emas bersarungkan permata empat puluh bilah dan budak-budak yang bongkok empat puluh dan tombak pengawitan yang bertatahkan ratna murni manikam dan bersampak emas empat puluh bilah.
(Dipetik daripada Hikayat Hang Tuah: 266)
Maka Laksamana pun rebah tidur.  Maka setelah dilihat oleh Laksamana penjurit itu tidur terlalu nyedarnya, maka Laksamana pun bangun lalu dihunusnya penduanya itu lalu ditendasnya kepala Sang Marga Paksi itu ketujuhnya
(Dipetik daripada Hikayat Hang Tuah: 320)

Maka Rangga pun segera mengunus kerisnya, seraya berkata, “Hai Laksamana, den eling, pakanira, kerana orang mengamuk itu banyak.”
(Dipetik daripada Hikayat Hang Tuah: 271)

Berdasarkan petikan yang pertama di atas, didapati bahawa penulis telah menggunakan perkataan Jawa iaitu ‘manira’ yang membawa maksud saya.  Dalam petikan yang kedua di atas pula, penulis menggunakan perkataan ‘priyai’ iaitu perkataan Jawa yang merupakan gelaran bagi golongan yang berpangkat tinggi.  Petikan ketiga pula memperlihatkan penggunaan perkataan Jawa ‘penjurit’ yang membawa maksud pejuang atau askar upahan serta dalam petikan keempat pula penulis menggunakan perkataan ‘den eling’ yang bermaksud supaya ingat atau beringat. 

·         Bahasa Parsi
Dalam Hikayat Hang Tuah turut melibatkan penggunaan bahasa Parsi.  Penggunaan perkataan dalam bahasa Parsi ini dapat dilihat melalui petikan di bawah, iaitu:
Setelah sudah diajarnya, Laksamana pun menuangkan arak lalu diberikannya pada Marga Paksi itu. Adapun arak itu dibihaus. Maka kata Marga Paksi, “Arak ini kalau-kalau engkau bubuh racun, minumlah engkau dahulu kulihat.”
(Dipetik daripada Hikayat Hang Tuah: 320)
Berdasarkan petikan di atas, didapati terdapatnya perkataan ‘dibihaus’ iaitu perkataan Parsi yang membawa maksud dibius. 
·         PANTUN
Pantun ialah ragam puisi yang hidup dalam kalangan rakyat dan bersifat kemelayuan. Khasnya pantun mempunyai sajak dan irama, pilihan suku kata dan perkataan. Pantun telah sedia hidup dalam masyarakat Melayu sudah lama sebelum orang-orang Melayu tahu menulis dan membaca. Orang Melayu mencipta pantun untuk melahirkan pelbagai bentuk perasaan dan merupakan satu seni yang indah. Mereka menggunakan pantun untuk berkasih-kasihan, memberi nasihat, suka-suka, berjenaka, menyindir dan untuk menyatakan rasa sedih.
Menurut Mohd Rashid Md Idris (2011: 67), pantun ialah karya puisi Melayu lama yang bukan sekadar sarat dengan makna tetapi juga padat dengan nilai keindahannya. Nilai keindahannya dapat dilihat jika kita sensetif dan peka dengan struktur binaan dan gaya bahasa sesebuah rangkap pantun. Menurutnya lagi, struktur binaannya tidaklah dibina dengan sewenang-wenangnya tetapi memerlukan perhatian dan kepekaan daripada semua aspek termasuklah pemilihan leksikal, sukatan suku kata, dan jumlah barisnya yang terhad. Semua perkara itu disusun dengan rapi dan teliti dalam satu bentuk pemikiran yang mantap dan dijelmakan dalam ungkapan yang indah melalui rangkap-rangkap pantun.
Dalam hikayat Hang Tuah, banyak pantun yang dimasukkan oleh pengarang teks ini. Terdapat satu adegan Hang Tuah berbalas pantun bersama-sama dengan sahabat-sahabatnya. Mereka berbalas pantun sambil bersuka ria di taman larangan Betara Majapahit. Hang Jebat dan Hang Kasturi memulakan pantun tersebut:
Hang Jebat Hang Kasturi,
Budak-budak raja Melaka,
Jika hendak jangan dicuri,
Mari kita bertentang mata.

Laksamana pun membalas pantun:
Lokan melata di perahu,
Belah baling bertandan,
Bukan aku tiada tahu,
Akulah hulubalang minta lawan.

Hang Lekir membalas pantun, demikian bunyinya:
Adakah perisai bertali rambut,
Rambut dipintal akan cemara,
Adakah bisa tahu takut,
Kami pun muda lagi perkasa.

Hang Lekiu berpantun yang berbunyi:
Ambil galah kaitkan jantung,
Banyak makan di jalan,
Pada Allah tempat bergantung,
Datang tombak kita melawan.
(Hikayat Hang Tuah: 182-183)




No comments:

Post a Comment