Tuesday 21 May 2013

NILAI ILMU DAN MAKLUMAT


Ilmu Firasat
Ilmu firasat merupakan salah satu bentuk ilmu yang berkait rapat dengan kebolehan “membaca” perwatakan manusia melalui tanda yang ada pada tubuh. Tanda pada tubuh tersebut bukan sesuatu yang dibuat secara sewenang-wenangnya tetapi berdasarkan kepercayaan dan pengalaman yang hidup subur dalam nilai budaya dan amalan hidup masyarakat. Antara karya yang memuatkan penceritaan tentang firasat ialah Taj al –Salatin dan Bustan al-Salatin. 
 Medan makna firasat dalam The Encyclopedia of Islam didefinisikan sebagai: “ a technique of inductive divination which permits the foretelling of moral conditions and psychological behaviour from external indications and physical states... These indications are provided by colours, forms and limbs; they reveal the secrets of characters and minds”. 
 (The Encyclopedia of Islam, 1991; 916)
Antara unsur ilmu yang termasuk dalam medan makna ilmu firasat adalah seperti dalam senarai berikut: Birth- marks and beuty spot, palmistry, character as revealed from shoulder-blades, examination of foot-prints, examination of morphoscopic or genealogical lines, finding one’s bearing in deserts, dowsing, detection of precious metals, signs foretelling rain, the unravelling pf secret analogies between present and future events, divination by means of palm-trees (palmomancy).
 (The Encyclopedia of Islam, 1991; 915) 
 Kewujudan ilmu firasat dalam tradisi keilmuan Islam paling ketara dapat ditemui khazanah kesusasteraan Arab dan Parsi khususnya yang berkaitan dengan cerota tentang nabi, khalifah, aulia, ahli tasawuf, orang alim, raja yang bijaksana dan sebagainya. Antara tokoh ilmuwan Islam yang sering muncul dalam cerita tentang ilmu firasat termasuklah Khalifah Umar al- Khattab dan Imam Syafii. Dalam konteks ini, cerita tentang ilu firasat tersebut bukan sahaja berperanan untuk memperlihatkan kelebihan ttokoh, tetapi juga mengandungi pelbagai nasihat, pengajaran dan panduan tentang akal budi, tatasusila kesopanan dan adab tingkah laku manusia. Dengan kata lain, cerita tentang ilmu firasat juga merupakan sebahagian penting dalam tradisi kesusasteraan yang hidup subur dalam kesusasteraan Islam. Antara karya khusus tentang ilmu firasat ialah Al- Siyasa fi’ilm al –firasa oleh Shams al –Din Abu Abd Allah Muhammad ibn Ibrahim ibn Abi Talib al- Ansari Al- Sufi al- Dimashki (m. 1327), Risala fi’ilm al-firasa oleh Fakhr al-Din al- Razi (m1209), Risala fi’l- firasa oleh Ya;kub ibn Ishak al-Kindi dan Al-Firaasat oleh Ibn Kayyim al- Djawziyya. Maksud firasat seperti yang dinyatakan jelas menunjukkan kekayaan ilmu firasat Melayu zaman silam yang boleh “membaca” fikiran dan jiwa manusia berdasarkan tanda yang tertentu. Dalam kehidupan masyarakat Melayu, maksud firasat sering kali menjelma dalam pelbagai istilah yang berbeza-beza tetapi mempunyai maksud yang sama, antara lain, melalui kata-kata, “ gerak rasa”, “gerak hati” dan sebagainya. Mungkin orang yang mempunyai ilmu firasat yang tinggi dapat membaca fikiran dan keperibadian manusia hanya dengan melihat rupa atau “air muka” seseorang. Penulisan tentang ilmu firasat dalam Bustan al-Salatin terdapat dalam bab VII karya yang berkenaan dan terbahagi kepada empat bahagian yang utama. Dalam bahagian yang pertama, Nuruddin al- Raniri menumpukan perhatian kepada definisi dan pembahagian umum tentang ilmu firasat. Menurut Nuruddin al-Raniri, ilmu firasat ialah ilmu tentang kaedah atau cara (rencana) untuk mengetahui kelakukan zahir dan batin manusia berdasarkan bukti tertentu (dalil dan kias). Kaedah untuk mengetahui kelakuan manusia itu terbahagi kepada dua bahagian, iaitu firasat “hakimi” dan firasat “ shar’i”. Hal ini dinyatakan oleh Nuruddin al-Raniri dalam bahagian tajuk fasal tentang firasat: Fasal yang kedua pada menyatakan ilmu firasat iaitu rencana daripada dalil dan kias dengan dia daripada kelakuan zahir kepada kelakuan batin. Mereka itu terbahagi atas dua bahagi: pertama –tama hakimi, kedua shar’i. 
(Bustan al-Salatin, SOAS MS 35600: 32) 
 Dalam huraian yang seterusnya, Nuruddin al-Raniri memperincikan makna firasat ‘hakimi dan ‘shar’i’. Menurutnya, firasat ‘hakimi’ merupakan peringkat ilmu firasat yang boleh dimiliki oleh manusia biasa dan terbahagi kepada dua bahagian iaitu ‘qiafat’ dan ‘firasat’. ‘Qiafat’ berkaitan dengan ilmu untuk mengetahui sifat manusia berdasarkan ciri fizikalnya, sementara ‘firasat’ berkaitan dengan ilmu untuk mengetahui sifat manusia berdasarkan perbuatan dan kepercayaannya. Hal ini dinyatakan yang berikut: Maka yang hakimi itu terbahagi atas dua bahagi pula. Pertama-tama qiafat, iaitu mengetahui akan tanda kebajikan dan kejahatan daripada segala rupa manusia. Kedua, firasat, iaitu mengentahui tanda kebajikan dan kejahatan daripada kelakuan segala manusia, dan kepercayaan, dan perbuatan, dan perkataannya. 
 (Bustan al-Salatin, SOAS MS 35600: 32) 
 Berbanding dengan firasat ‘hakimi’ yang boleh dimiliki oleh manusia biasa, firasat shar’i pula lebih khusus kepada golongan tertentu, iaitu orang arif, anbia dan aulia Allah. Golongan anbia( nabi), aulia (wali), dan ahli Sufi khususnya merupakan golongan manusia yang sangat istimewa, yang sangat dikasihi Allah dan sentiasa menerima cahaya petunjuk daripada Allah. Makna ilmu firasat yang sedemikian menepati definisi firasat yang terdapat dalam A Dictionary Of Islam seperti yang berikut: A Sufi term for the enlighttenment of the heart. A penetration into the secrets of the unknown”. (Hughes, 1982: 128). Hal ini menunjukkan ilmu firasat ‘shar’i’ sangat istimewa, yang merupakan ‘suatu gerak hati anugerah Allah taala’ kepada hamba-Nya yang pilihan sahaja” Adapun firasat shar’i itu, kata segala arif, iaitu suatu gerak hati daripada anugerah Allah taala dengan tilik kepada suatu tanda seperti tilik kepada firasat hakimi jua. Itulah firasat segala anbia dan segala arif dan aulia Allah. 
 (Bustan al-Salatin, SOAS MS 25600: 32) 
  • FIRASAT HAKIMI dapat dimiliki oleh manusia biasa Qiafat: ilmu firasat berdasarkan tanda pada tubuh manusia. Bersifat Alam biasa firasat berdasarkan perbuatan, tingkah laku dan percakapan 
  • FIRASAT SHAR’I Hanya dimiliki manusia pilihan (sufi/ anbia/ aulia/) Bersifat firasat berdasarkan alam tinggi ‘gerak hati anugerah daripada Allah taala’.
Dalam bahagian kedua huraian tentang ilmu firasat terdapat pelbagai petikan yang berkaitan dengan ilmu firasat yang diambil daripada al-Quran, hadis dan kata orang bijak pandai. Petikan tersebut memainkan peranan yang sangat penting sebagai bukti nyata tentang kewujudan firasat sebagai contoh petikan al-Quran, hadis dan kata orang bijak pandai yang berkaitan dengan ilmu firasat tersebut adalah seperti yang berikut: 
 Petikan al-Quran (surah al-Fath: 29) ‘Tanda bahagia mereka itu kelihatan pada muka mereka itu daripada bekas              sujudnya’. (Bustan al-Salatin, SOAS MS35600: 33) 
 Bahagian ketiga merupakan huraian lanjut tentang firasat hakimi, khususnya tentang firasat ‘qiafat’, yakni tentang tanda pada tubuh badan manusia. Bahagian ini terdiri daripada 9 halaman 
(Bustan al-Salatin, SOAS MS 35600: 38-46). 

Jika dibandingkan dengan Taj al-Salatin, huraian dalam Bustan al-Salatin tentang tanda tubuh badan manusia lebih banyak dan panjang. Secara keseluruhannya, terlihat kecenderungan Nuruddin al- Raniri untuk memilih sifat manusia yang sederhana sebagai sifat terbaik dan terpuji: 
  •  Maka adalah tanda kebajikan pada segala pekerjaan dan perbuatan dan kelakuan dan rupa sekalian itu pada manusia ugahari dan sederhana. 
(Bustan al-Salatin, SOAS MS 35600: 33) 
Bahagian keempat merupakan bahagian penghayatan ilmu firasat dalam tradisi kesuasteraan Islam. Dalam bahagian ini, Nuruddin al- Raniri memperhalus perbicaraannya tentang ilmu firasat melalui beberapa contoh cerita yang berkaitan dengan ilmu tersebut, termasuklah cerita tentang nabi, khalifah, ulama dan raja. Dalam cerita berkenaan memperlihatkan bagaimana pengetahuan dalam ilmu firasat membantu seseorang mengenali perwatakan orang yang berhubungan dengannya dan seterusnya dapat menyelesaikan masalah yang timbul. Pengetahuan dalam ilmu firasat juga dapat membantu seseorang memilih manusia yang benar dan dapat menghindarkan diri daripada manusia yang tidak berbudi pekerti. 
Adat pepatih
·         Latar belakang
Adat perpatih merupakan satu sistem kemasyarakatan yang diamalkan oleh penduduk Melayu watan di enam buah daerah  di Negeri Sembilan iaitu Rembau, Jempol, Kuala Pilih, Seremban dan Tampin. Di samping Negeri Sembilan,beberapa tempat lain juga ialah di Naning, Nyalas, dan Lubuk Cina di Melaka, Beranang di Selangor, Kampung Lukut, Kota Tinggi dan Jemaluang di Johor (Nordin Selat,1993). Di Malaysia, masyarakat Adat Perpatih di Negeri Sembilan boleh dianggap sebagai masyarakat yang bitara, kerana inilah satu-satunya kelompok yang mengamalkan sistem kekeluargaan nisab ibu. Sistem ini telah wujud lebih daripada 600 tahun dahulu. Faktor utama yang membezakan adat ini dengan adat yang lain ialah penekanan penjuraian keturunan melalui nasab ibu, di samping mengakui keturunan nasab bapa. Adat perpatih ini merupakan satu peraturan hidup yang sistematik dan telah mempengaruhi konsep, rupa bentuk dan falsafah sosiobudaya sebahagian besar rakyat di Negeri Sembilan. Adat ini juga berteraskan keharmonian hidup masyarakat dan merangkumi pelbagai bidang kehidupan seperti sistem politik, ekonomi dan sosial sehinggalah hal-hal yang mikro seperti adat istiadat pertabalan raja, kaedah pembahagian harta pusaka dan perkahwinan (Ani Hj. Omar, 2011:34). .
                  Wanita dalam karya agung Melayu sering dikaitkan dengan ketangkasan, kebijaksaan, kecantikan dan kejelitaan. Peranan wanita dalam karya-karya agung Melayu tidak boleh dinafikan lagi. Mereka ini menjadi pendokong atau pendorong kepada watak utama. Banyak karya yang memperlihatkan peranan dan kedudukan wanita yang boleh dijadikan panduan kepada wanita zaman sekarang seperti watak Puteri Gunung Ledang, Tun Fatimah, Tun Teja, Siti Denar, dan Raja Aishah Sulaiman.
                  Watak-watak wanita dalam karya agung tersebut akan dibandingkan dengan wanita dalam Adat Perpatih. Terdapat juga peranan wanita Adat Pepatih sama dengan peranan yang ditonjolkan oleh wanita-wanita dalam hikayat-hikayat klasik. Namun, tidak kurang juga perbezaan peranan dan kedudukan wanita dahulu dan wanita Adat Perpatih.
·         Kedudukan dan Peranan Wanita dalam Hikayat Melayu Klasik
Perempuan dalam bacaan karya moden, sering dijadikan sebagai subjek yang diam, seperti dalam Salina (A.Samad Sid), Tok Guru (Shahnon Ahmad), Perempuan Berkalung Sorban (Abidah el Khalieqy). Bagaimanapun, menurut sajak Melayu oleh Usman Awang, diam kerana mereka marah. Bagi Sejarah Melayu, Hikayat Raja Pasai, dan Hikayat Atjeh terdapat serangkaian cerita yang melibatkan perempuan sebagai objek mahupun subjek. Perempuann disimbolkan dengan tanda-tanda kebesaran. Watak wanita dalam Sejarah Melayu ialah Nila Pahlawan (Sang Si Perba) bersaudara sementara Hikayat Raja Pasai dengan Meurah Gajah yang ditemui Raja Ahmad di atas gajah. Kecantikan mereka ini menjadi musuh kepada dirinya sendiri. Namun, di sisi lain ia menujukkan tanda penghormatan dan kemuliaan. Jantina perempuan dilindungi bukan kerana mereka lemah tetapi kerana mereka adalah mulia. Pengiktirafan atas jantina perempuan dan lelaki dianggap setara.
                  Perempuan dalam hikayat Melayu Klasik mempunyai kedudukan mereka sendiri. Hal ini sama dengan wanita Adat Perpatih yang mempunyai kedudukan yang tinggi daripada lelaki. Jika keseimbangan dan kedudukan mereka terganggu, perempuan Melayu tidak akan duduk diam sebaliknya mencuba mendapatkan tempatnya semula. Perempuan pada zaman tersebut sentiasa beringat dan mengambil cara yang sederhana agar dapat didengar dan difahami. Kelakuan seperti ini ditonjolkan oleh Tun Fatimah, Tun Teja dan Puteri Gunung Ledang (PGL) yang berani memprotes perkara yang tidak menyebelahi dirinya. Hal ini dapat dilihat apabila Tun Fatimah melakukan protes dengan menggugurkan kandungan dan tindakannya itu mirip dengan Siti Zubaidah dalam Syair Siti Zubaida Perang Cina Cik Apung dalam Hikayat Siak. Perlawanan PGL terhadap Sultan Mansur Shah/Sultan Mahmud yang sedia terkenal sebagai penentang kepada Sultan Mansur Shah juga turut memperlihatkan protes seorang wanita terhadap lelaki. Pelbagai perkara yang dilakukan oleh PGL untuk menentang dan menolak pinangan Sultan.
                  Selain protes, perempuan dalam hikayat Melayu klasik juga menggunakan strategi penyamaran untuk menyuarakan suara hati mereka. Badrul Muin, puteri dalan Hikayat Syamsul Anuar dengan menggunakan nama Afandi Hakim mengajak empat puteri lain (tiga daripadanya puteri raja) berpakaian cara lelaki dan ke luar istana. Ketiga-tiga puteri ini mempunyai autonomi atas diri mereka sendiri. Usaha penyamaran yang dilakukan pengarang bukan sahaja cuba meletakkan kedudukan setara atau seimbang antara lelaki perempuan tetapi juga meruntuhkan stereotaip perempuan yang diberikan oleh masyarakat melalui peranan Puteri Ratna Kamala.
                  Selain protes dan penyamaran, keterbalikan peranan juga ditulis jelas dalam hikayat. Hikayat Raja Pasai (HRP) mempunyai watak Tun Beraim Bapa yang ‘mesra gender’. Hikayat Atjeh (HA) menawarkan watak Djohan Alam yang sangat pengasih pada orang sekelilingnya. Nilai yang ada pada perempuan ini sangat disanjung tinggi. Sifat lemah lembut juga dipandang tinggi, dan kekerasan bukan selamanya sifat yang disanjung dan perlu ada. Sifat steretaip ‘menangis’, ‘emosional’ yang selalu sahaja dikaitkan dengan perempuan juga terdapat pada lelaki. Sifat berani yang ada pada perempuan juga ditonjolkan kuat dalam Hikayat Bakhtiar, melalui peranan Siti Denar yang berani membela kebenaran suaminya di depan sultan walaupun diancam akan berdepan dengan kematian. HRP dan HA menunjukkan pada kita bahawa sesuatu  sifat itu bukan diwarisi, tetapi ianya terdapat pada perempuan dan juga lelaki.
                  Bukan itu sahaja, Hikayat Hang Tuah juga cuba memaparkan bahawa hukum juga turut dikenakan pada lelaki. Teks-teks bersifat ‘feminis’ selalu menetapkan perempuan dipaksa tunduk pada aturan masyarakat agar membenarkan sebarang tindakan dominasi oleh perempuan pula di kemudian hari. Lelaki juga dipaksakan mematuhi norma masyarakat yang mendatangkan mudarat pada dirinya sendiri.

·         Kepimpinan Wanita dalam Karya Agung Melayu
Karya agung Melayu yang menampakkan kepimpinan Melayu adalah dalam Taj-al-Salatin dan Bustan al-Salatin. Taj-al-Salatin telah dikarang oleh Bukhari al-Jauhari pada tahun 1603 di Acheh manakala Bustan al-Salatin telah dikarang oleh Nuruddin ar-Raniri pada tahun 1636. Kedua-dua karya ini juga menyatakan tentang pemerintahan oleh raja wanita. Di dalam Bustan al-Salatin, wanita boleh menjadi pemimpin jika wanita tersebut berasal dari keturunan raja yang memerintah serta kaya dan dihormati dalam kalangan masyarakat. Raja wanita diukur berdasarkan kepada aspek darah keturunan diraja. Pengarang memaparkan bahawa darah diraja yang mengalir dalam tubuh setiap waris perlu dikekalkan walaupun berajakan seorang wanita. Hal ini jelas dapat dilihat dalam bab dua fasal tiga belas yang menceritakan kejayaan Sultan Taju’ 1-Alam Safiatun-Din Shah yang telah mengambil tampuk pemerintahan dari suaminya dilihat penuh dengan kehebatan dari segi adat dan kekayaan kerajaan.
Pandangan Bukhari al-Juhari dalam karya Tajus al-Salatin tidak menolak kepimpinan wanita tetapi boleh dilakukan dalam keadaan tertentu untuk mengelak fitnah, darurat dan sebagainya. Di dalam karya ini juga turut mengemukakan mengenai sifat-sifat wanita dan syarat-syarat yang perlu dilakukan apabila seseorang wanita menjadi pemimpin. Di dalam karya ini membicarakan tentang raja dan pemerintah yang menyatakan tentang peranan, sifat dan ciri-ciri seorang raja. Sifat-sifat wanita yang digambarkan sebagai insan yang kurang budi, beremosi, lemah sehingga perlu dilindungi oleh lelaki dan tidak boleh berperang berbanding lelaki. Namun, wanita boleh menjadi pemimpin dalam bahagian-bahagian tertentu seperti pemimpin kepada kaum mereka, pemimpin dalam soal-soal yang berkaitan dengan kewanitaan dan sebagainya yang layak dan bersesuaian dengan hak asasi wanita. Di dalam karya ini juga turut menyatakan bahawa jika seseorang wanita ingin memegang kepimpinan yang menyamai lelaki, mereka seharusnya mempunyai penasihat lelaki seeloknya yang muhrim bagi melancarkan peranan dan tanggungjawab mereka disamping dapat menjaga dan melindungi batas-batas dan fitrahnya sebagai wanita dari pandangan Islam.  Hal ini sama seperti yang berlaku kepada wanita dalam Adat Perpatih iaitu perempuan dilihat sebagai pemimpin di dalam adat (Ibu Soko) namun mereka masih lagi memerlukan lelaki untuk menjadi penasihat mereka serta memerintah mengikut ajaran Islam serta adat mereka.
Peranan golongan wanita dalam politik tradisional Melayu juga mencakupi pelbagai bidang untuk dikaji secara mendalam. Di dalam Sejarah Melayu, terdapat peranan golongan wanita tradisional dalam memainkan peranan mereka dalam struktur politik tradisional Melayu. Tanggapan yang mengatakan bahawa wanita tidak mempunyai peranan dalam mengubah atau mempengaruhi sistem politik dan geopolitik dalam kalangan masyarakat pada zaman lampau adalah salah sama sekali. Hal ini dapat dilihat pada karya Sejarah Melayu yang menunjukkan kepintaran seorang wanita dalam merebut jawatan dan menguasai sistem politik di Melaka iaitu seperti yang ditunjukkan oleh saudara perempuan Raja Rekan yang merupakan seorang wanita telah dilantik oleh Raja Ibrahim sebagai pengganti baginda. Saudara perempuan Raja Rekan ini menunjukkan bahawa wanita juga mampu memerintah Melaka di sebalik tabir pada zaman yang hanya dikuasai oleh lelaki.
Dalam Sejarah Melayu juga memperlihatkan peranan wanita dalam soal pemerintahan. Hal ini dalam dilihat pada bab keempat belas iaitu peranan yang ditunjukkan oleh Raja Tua iaitu nenda Sultan Alauddin Syah untuk membunuh Sultan Mahmud Syah yang masih kecil dan gering sewaktu dijaga oleh Bendahara Tun Perak dan Laksamana Tun Perak. Hal ini menunjukkan bahawa wanita berperanan dalam merancang pengganti Sultan Melaka dan hal ini menggambarkan bahawa wanita mempunyai kuasa yang menyebabkan berlakunya peralihan kuasa atau perancangan teliti agar calon tertentu menjadi pemerintah menggantikan seseorang raja.    
Seterusnya, diperlihatkan juga wanita mempunyai peranan yang kuat dalam urusan pertadbiran di mana Tun Biajid merupakan anak lelaki Laksamana Hang Tuah yang berkhidmat untuk Sultan Mahmud Syah. Walaupun begitu, isterinya telah melakukan perlakuan yang tidak bermoral dengan Sultan Mahmud Syah menyebabkan Tun Biajid enggan lagi mencampuri urusan pentadbiran Melaka atau membantu Melaka dari segi menyumbangkan tenaga sebagai pahlawan Melaka. Hal ini memperlihatkan bahawa begitu besar implikasi dari perlakuan yang tidak bermoral seorang isteri telah mengakibatkan suaminya yang berkebolehan dalam mempertahankan Melaka enggan berkhidmat dengan rajanya.
·         Persamaan Wanita dalam Karya Agung Melayu dan Wanita dalam Adat Perpatih.
Peranan wanita amat penting dalam membawa perubahan sistem politik di alam Melayu. Peranan wanita walaupun tidak segagah kaum lelaki, namun mereka mampu menimbulkan beberapa kesan ke atas perjalanan politik bagi sesebuah kerajaan dan adat. Persamaan wanita dalam karya-karya agung Melayu dan wanita dalam Adat Perpatih ialah berkenaan dengan kekuasaan yang dimiliki. Contoh yang dapat dilihat ialah wanita dalam Adat Perpatih mempunyai Ibu Soko di mana Ibu Soko tersebut mempunyai kuasa dalam menentukan kuasa dalam perkahwinan. Perkahwinan di dalam Adat Perpatih tidak akan berjalan jika Ibu Soko tidak menyetujuinya. Keputusan Ibu Soko inilah yang akan mempengaruhi sesebuah perkahwinan. Hal ini juga turut berlaku kepada wanita dalam karya agung Melayu iaitu dalam Hikayat Hang Tuah. Sebagai contoh, tindakan yang dilakukan oleh isteri kepada Laksamana Hang Tuah yang telah melakukan perlakuan yang tidak bermoral sehingga mempengaruhi suaminya yang berkebolehan dalam mempertahankan Melaka enggan untuk berkhidmat dengan rajanya. Hal ini menunjukkan bahawa seorang wanita boleh mengubah keputusan dan tindakan orang sekelilingnya.
Persamaan lain yang boleh dilihat pada wanita dalam era yang berbeza ini ialah berkenaan dengan sifat kepimpinan. Hal ini dapat dilihat di dalam karya Tajus al-Salatin yang tidak menolak kepimpinan seorang wanita namun mereka perlulah mempunyai seorang lelaki sebagai pembantunya bagi mengelakkan berlakunya fitnah dan sebagainya. Hal ini juga dapat dilihat pada wanita dalam Adat Perpatih di mana wanita bertindak sebagai ketua dalam Adat perpatih sehingga segala harta, tanah, dan rumah pusaka diuruskan oleh wanita. Namun, wanita juga memerlukan lelaki dalam membantunya menguruskan harta, membuat kerja di ladang/sawah dan sebagainya. Oleh itu, dapat dilihat persamaan bahawa walaupun wanita mempunyai sifat kepimpinan dalam sesebuah kerajaan atau adat, mereka juga memerlukan lelaki dalam membantunya melancarkan tugas-tugas yang berat dan bagi mengelakkan berlakunya fitnah.
Selain itu, wanita dalam Adat Perpatih dan wanita dalam karya-karya agung Melayu juga mempunyai persamaan apabila melihat kepada sifat kepandaian wanita. Sebagai contoh, kepandaian wanita di dalam Adat Perpatih mestilah wanita yang bersifat cerdik, tahu dan pandai. Cerdik bermaksud mengetahui mudharat dan manfaat, untung dan rugi daripada sesuatu perbuatan dan tindakan; mengetahui mana yang salah dan tidak pada tempatnya dan mengetahui segala yang menjadi larangan dalam pergaulan manakala pandai bererti anggota masyarakat adat harus pandai meletakkan sesuatu pada tempatnya. Hal ini juga dapat dilihat pada kepandaian wanita dalam karya-karya Melayu seperti yang berlaku pada puteri dalam Hikayat Syamsul Anuar dengan menggunakan nama Afandi Hakim mengajak empat puteri lain (tiga daripadanya puteri raja) berpakaian cara lelaki dan ke luar istana. Ketiga-tiga puteri ini mempunyai autonomi atas diri mereka sendiri. Hal ini memperlihatkan bahawa puteri dalam Hikayat Syamsul Anuar mempunyai kebijaksanaan dan kepandaian untuk ke luar daripada istana dengan memakai pakaian lelaki. Melalui bukti-bukti yang ditunjukkan menunjukkan bahawa terdapat persamaan antara wanita Adat Perpatih dan wanita dalam karya Melayu.


RUJUKAN

 Bahan Artikel Dipetik Dan Disunting Daripada Buku: Pemikiran Adab Ketatanegaraan Kesultanan Melayu Yang Ditulis Oleh Jelani Harun (2003)
 Jelani harun (2003). Pemikiran Adab Ketatanegaraan Kesultanan Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Ani Hj. Omar, 2011. Apresiasi Teori Kesusasteraan Melayu. Perak : Emeritus Publications.

Azizah Kassim, 1974. Kedudukan Wanita dalam Masyarakat Adat Perpatih dalam Abad
            Kedua Puluh. Manusia dan Masyarakat. Kuala Lumpur : Universiti Malaya.

Hamka. 1978. Soal Jawab Agama Islam. Kuala Lumpur : Pustaka Melayu Baru.

Nordin Selat, 1982. Sistem Sosial  Adat Perpatih. Kuala Lumpur : Utusan Publications &
            Distributors Sdn Bhd

.Norhalim Hj. Ibrahim, 2005. Wanita Adat Perpatih. Kertas Kerja untuk ceramah Peranan
            Wanita dalam Adat Perpatih, anjuran Lembaga Muzium Negeri di Perkampungan
            Budaya Terachi pada 28 September 2005.

 Mohd Rosli Saludin, 2007. Naning Luak Terbilang. Penang : Goal Intelligent Publishing Sdn.
            Bhd.

1 comment:

  1. assalamualaikum........ salam perkenalan.terima kasih di atas perkongsian ilmu ini. Mohon share ye untuk rujukan saya.

    ReplyDelete