Pengenalan
Idealisme dan falsafah merupakan dua elemen sastera
yang saling bertentangan. Penggunaan kedua-dua elemen ini ke dalam sesuatu
karya sastera, iaitu karya agung khususnya amat popular dalam kalangan
pengkarya-pengkarya satu ketika dahulu. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat,
idealisme bermaksud sifat melihat atau mencita-citakan sesuatu dalam bentuk
yang ideal (2010: 558). Menurut W.F Hocking pula, idealisme merupakan realiti
yang terdiri daripada idea-idea, fikiran-fikiran, akal (mind) atau jiwa (selves)
dan bukanlah kekuatan atau kebendaan. Berdasarkan pendefinisian tersebut, jelas
menunjukkan bahawa idealisme memerlukan daya imaginasi yang tinggi dan kreatif
untuk menghasilkan sesuatu bentuk karya sastera.
Bagi
maksud falsafah pula, ia dimaksudkan sebagai pengetahuan tentang pengertian
yang dianggap sebagai ilmu yang tertinggi yang menjadi dasar kepada ilmu-ilmu
yang lain (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2010: 406). Ilmu yang dimaksudkan
tersebut adalah pengetahuan yang amat luas kepada sesuatu bentuk hakikat yang
mendasari kepada semua ilmu berkaitan dengan hal tersebut. Bagi Hashim Hj. Musa
pula, falsafah disifatkan oleh beliau sebagai kajian secara renungan dan
spekulatif terhadap punca, keadaan dan sifat seluruh pengetahuan manusia yang
menjadi sari pati bagi seluruh bidang pengetahuan manusia. Pentakrifan yang
dibuat oleh tokoh Melayu ini masih lagi berkisar mengenai cakupan keseluruhan
ilmu dan bidang tentang pengetahuan manusia.
Kedua-dua
elemen ini diadaptasikan oleh tokoh-tokoh sastera ke dalam karya mereka untuk
memperjelaskan lagi tujuan dan idea yang ingin disampaikan dalam sesuatu karya
agung itu. Hal ini demikian kerana, elemen-elemen tersebut amat sesuai dan
bertepatan dengan kehendak pembaca. Dalam pada itu, para pengkarya itu juga
menerapkan kedua-dua elemen ini agar para pembaca dapat membuat penganalisisan
tentang sesuatu karya tersebut dengan lebih mudah.
Jelaslah
bahawa penerapan idelisme dan falsafah dalam sesuatu karya agung amat
diperlukan dalam pengoperasian sesuatu karya agung. Dalam pembicaraan yang
dilaksanakan tertumpu kepada empat, iaitu idealisme bersumberkan alam, falsafah
bahasa, falsafah Islam dan falsafah Melayu.
*Idealisme
Bersumberkan Alam
Sesebuah karya seharusnya memiliki falsafah,
pemikiran dan persoalan yang agung dan penting. Hal inilah yang disebutkan oleh
tokoh pengkritik karya sastera, Greek Dionysus Cassius Longinus. Hal ini
membuktikan bahawa sesebuah karya sastera, terutamanya karya agung pasti
memiliki ciri pemikiran tertentu yang juga disebut sebagai idealisme.
Seterusnya, idealisme yang akan dibincangkan dalam karya agung Melayu adalah idealisme
karya yang bersumberkan alam. Perbincangan berdasarkan idealisme yang
bersumberkan alam ini dapat dikategorikan kepada beberapa pecahan, misalnya
berkaitan tumbuh-tumbuhan, haiwan, angkasa, sosialisasi dan sebagainya. Kehidupan
manusia tidak lari daripada alam, malah banyak perkara yang berlaku dalam
kehidupan sebagai seorang manusia sering dikaitkan dan diumpamakan dengan alam
ciptaan Tuhan, tidak kira dari segi tumbuhan, haiwan, angkasa, lautan mahupun
hubungan antara masyarakat, iaitu sosialisasi.
Hal ini banyak diungkapkan dalam
karya-karya agung Melayu klasik. Mortimer Jerome Adler menyatakan, berdasarkan
isu utama berkenaan tumbuh-tumbuhan, haiwan dan manusia sebagai bentuk hidupan
yang berkesinambungan atau jelas berbeza, maka kajian organisma haiwan –
anatomi dan fisiologinya – memperoleh banyak kepentingannya (2007: 12). Bukan sahaja pada satu bahagian, malah pada
ketika menulis manusia juga tidak dapat lari dari dikaitkan dengan alam. Bagi
membuktikan hal ini, jadual di bawah disediakan untuk memaparkan antara contoh
karya agung yang penulisan, pemikiran atau idealismenya berhubungkait serta
bersumberkan alam.
Sumber
|
Contoh
|
Lautan
|
“Maka Raja Suran fikir dalam hatinya, ‘Bahawa isi
darat telah aku ketahuilah, dan segala isi laut bagaimana gerangan rupanya?
Jika demikian, baik aku masuk ke dalam laut, supaya aku ketahui betapa
halnya.’”
(Sulalat al-Salatin, 2003: 14)
Petikan ini menunjukkan bahawa penulis berasa perlu untuk memasukkan
unsur alam dalam pengkaryaannya meskipun kadangkala dilihat hal itu tidaklah
begitu penting. Hal ini membuktikan bahawa kaitan antara manusia dan alam
seperti lautan juga adalah sesuatu yang dianggap sebagai keperluan.
|
Api dan air
|
“Bahawa demikianlah susahnya aku ini dipeliharakan
oleh ibu bapaku: seperti meniup api dalam air, adanya.”
(Hikayat Abdullah, 2004: 15)
Petikan ini pula menunjukkan terdapat penggunaan perumpamaan yang
dikaitkan dengan kehidupan manusia melalui kepengarangan kisah hidup Abdullah
yang ditulis oleh beliau sendiri.
|
Kaitan antara manusia
|
“Maka sebab itulah kata arif: Apabila engkau dapat
wang, belikan emas; maka jualkan pula emas itu, belikan pula intan; maka
jualkan pula intan itu, belikan manikam; jualkan pula manikam itu, belikan
ilmu. Maka demikianlah besar kemuliaannya itu serta dengan teguh setianya
kepada orang yang mendapat dia itu.”
(Hikayat Abdullah, 2004: 20)
Dalam penulisan karyanya, Abdullah Munshi turut memasukkan kata-kata
dari bijak pandai yang menunjukkan bahawa beliau mengambil tahu hal ini
daripada orang yang lebih arif. Kebiasaannya juga, hal ini dikatakan oleh
orang berilmu dan orang tua-tua kepada orang muda. Hal ini menunjukkan
idealisme bersumberkan alam berkaitan hubungan sesama manusia dalam hidup
bersosial.
|
Alam
|
“Maka adalah ia itu diumpamakan seperti suatu tiang
batu adanya. Maka barang betapa berat ia ditanggungkan di atasnya, ditahannya
juga. Maka jikalau sekiranya terlampau daripada adat beratnya itu, remuklah ia,
patah sekali, tetapi tiada ia tahu melentur atau bongkok, seperti tiang kayu
dan sebagainya.”
(Hikayat Abdullah, 2004: 20)
Petikan ini juga menunjukkan pemikiran atau idealisme penulis karya
agung dalam mengaitkan penulisannya dengan sumber alam di sekelilingnya.
|
Falsafah karya agung terutamanya karya agung dunia
Melayu turut diilhamkan oleh pengarangnya melalui agama Islam yang menjadi
pegangan agama majoriti bangsa Melayu. Hal ini dibuktikan melalui sebuah buku
daripada Yayasan Karyawan (2000: 13) yang menyatakan tiga faktor utama
terhasilnya karya agung Melayu iaitu; a) kekuatan bahasa Melayu, b) pengaruh
Islam, dan c) peranan istana dan sekolah pondok. Hal ini membuktikan bahawa
falsafah yang terdapat dalam karya agung terdapat juga yang bersumberkan Islam,
iaitu memperlihatkan keislaman dalam penghasilan karya.
Setelah pengaruh agama Hindu
menjadi pudar dalam diri masyarakat Melayu, munculnya Islam di dalam dunia
Melayu. Sekitar abad ke-12 dan ke-13, beberapa buah kerajaan Melayu-Islam telah
ditubuhkan di Perlak (Pasai). Perkara ini menyebabkan berakhirnya pengaruh
kerajaan Melayu-Srivijaya yang pada masa tersebut masih dalam kekuatan pengaruh
Hindu. Agama Islam seterusnya disebarkan secara meluas, bukan sahaja dalam
kalangan alim ulama’ tetapi juga turut disebarkan kepada rakyat.
Pada ketika ini dikatakan
masyarakat Melayu masih menggunakan bahasa lisan sehinggalah tiba suatu ketika
apabila masyarakat Melayu sudah mula mempelajari abjad Arab untuk menulis
bahasa Melayu. Dengan bermulanya perkembangan tulisan ini, bermulanya suatu
zaman baru dalam dunia Melayu, iaitu zaman perkembangan ilmu dan pemikiran yang
didasarkan kepada ajaran agama, iaitu tauhid dan pandangan Islam sejagat. Hal
ini juga dapat dikaitkan dengan istana kerajaan Melayu-Islam pada zaman
tersebut yang menjadi pendukung kepada kegiatan penulisan yang membentuk
warisan bangsa.
Kitab al-Qur’an merupakan sumber
utama kepada falsafah Islam kerana al-Qur’an adalah kitab petunjuk dan rahmat
buat sekalian alam. Mohd Rashid Md Idris ada menyatakan bahawa al-Qur’an itu
adalah kitab yang Haq dari yang maha Haq, tiada keraguan, tiada kebengkokan,
tiada kesilapan dan kesalahan, tiada percanggahan dan pertentangan, kitab yang
terpelihara, kitab yang diberkati, kitab yang menjadi cahaya dan penghidup
jiwa, kitab yang menjadi penjelas dan penerang, kitab yang menjadi penawar dan
pengubat jiwa, dan kitab yang menjadi pemutus kata (2007: 53).
Hal ini membuktikan bahawa Islam
dan falsafahnya memberikan seratus peratus keyakinan kepada penganut agamanya.
Hal ini juga menyebabkan masyarakat Melayu-Islam sejak dahulu sangat yakin akan
kebaikan menurut ajaran seperti yang dinyatakan dalam agamanya. Dengan itu,
tidak hairanlah di dalam penulisan pengkarya klasik dahulu kala terutamanya
mereka yang beragama Islam seperti Nuruddin al-Raniri, Tun Sri Lanang, Raja Ali
Haji, Munshi Abdullah dan tokoh-tokoh yang lain suka untuk mencetuskan
pemikiran berasaskan falsafah Islam dalam karya mereka.
Hal ini dapat dilihat dalam contoh
yang terdapat dalam penghasilan karya Sulalat al-Salatin karya Tun Sri Lanang. Agama
Islam menyarankan seseorang rakyat untuk mentaati pemerintahnya selagi
pemerintah tersebut tidak berlaku zalim. Kesetiaan seorang rakyat kepada sultan
ini dibuktikan melalui penghasilan karya Sulalat al-Salatin yang merupakan
titah sultan kepada seorang pengarang, iaitu Tun Sri Lanang. Titah tersebut
dinyatakan dalam karya Sulalat al-Salatin yang berbunyi;
“diperbuatkan
hikayat [….] perteturun segala raja-raja Melayu dengan istiadatnya, supaya
didengar oleh anak cucu kita yang kemudian dari kita dan diketahuinyalah segala
perkataan, syahadan beroleh faedahlah mereka itu daripadanya”
(Sulalat
al-Salatin, edisi Karya Agung, 1993: 3)
Pengarang menunjukkan ketaatan dengan menjunjung
perintah sultan yang membawa kepada keberlanjutan warisan sejarah bangsa kepada
generasi terkemudian. Hal ini dibuktikan melalui tulisan pengarang dalam kitab
ini juga, iaitu;
“Maka fakir
karanglah hikayat ini [….] dan fakir himpunkan daripada segala riwayat orang
tuha-tuha dahulu kala supaya akan menyukakan duli hadhrat baginda”
(Sulalat
al-Salatin, edisi Karya Agung, 1993: 4)
Selain itu, terdapat juga karya-karya agung lain
yang menerapkan unsur keislaman ini. Misalnya dalam karya Hikayat Abdullah
hasil karangan Abdullah Abdul Kadir Munshi, pendidikannya sedari kecil sangat
menitikberatkan hal-hal keagamaan dan keilmuan. Hal ini dapat dilihat
berdasarkan petikan daripada karya tersebut, iaitu;
“Adapun ilmu dan
kepandaian itu menjadi tangga kepada pangkat kekayaan, dan kekayaan itu membawa
kepada kebesaran. Maka bahawasanya segala benda yang dijadikan Allah dalam
dunia itu masing-masing adalah dengan harganya, iaitu dapat dinilaikan oleh
manusia melainkan ilmu itulah sahaja yang tiada ternilai oleh manusia akan
harganya.”
(Hikayat Abdullah, 2004: 19)
Petikan
di atas menunjukkan ciri falsafah Islam apabila segala yang dinyatakan berbalik
kembali kepada kepercayaan dan kepatuhan terhadap kata-kata Allah. Selain itu,
menuntut ilmu juga adalah perkara yang sangat dituntut dalam Islam. Hal ini
terbukti melalui kata hikmah yang berbunyi “sesuatu amal seharusnya didahului
dengan ilmu”. Kata-kata ini adalah antara kata-kata yang ditekankan dalam agama
Islam.
*Falsafah
Bersumberkan Melayu
Kehidupan masyarakat Melayu tidak boleh terlepas
daripada peraturan dan disiplin. Oleh yang demikian, mereka menerapkan unsur
tersebut di dalam karya mereka. Misalnya, mereka menekankan konsep budi dalam
kehidupan mereka. Konsep budi tersebut pula terbahagi kepada lima, iaitu budi
bahasa, budi pekerti, budi bicara, hati budi dan akal budi (Mohd Rashid Mohd
Idris, 2011: 63). Penerapan unsur-unsur tersebut dapat diperhatikan dalam
contoh yang berikut:
1)Budi
bahasa
Budi bahasa dan budi bicara yang mulia merujuk
kepada pertuturan yang manis, sopan, positif, bijaksana, bernas dan penuh
pengajaran, serta memberikan sumbangan kepada khalayak dan pendengarnya (Mohd
Rashid Idris, 2011: 64). Contoh penerapan unsur ini dalam karya agung dapat
dilihat dalam contoh di bawah:
“Pada masa itulah wafat Syeikh
Syamsuddin al-Sumaterani iaitu pada malam Isnin 12 haribulan Rejab, pada Hijrah
1039 tahun, bahawa Syeikh itu alim pada segala ilmu tasawuf dan beberapa kitab
yang ditaklifkannya.”
(Sumber: Bustan al-Salatin, 1992)
Ini
menunjukkan bahawa Nuruddin adalah seorang individu yang mempunyai budi bahasa
yang tinggi. Hal ini demikian kerana walaupun beliau bertelagah dengan Syamsuddin,
beliau tetap menghormatinya sebagai seorang ulama dan manusia biasa. Ungkapan
yang dinyatakan oleh Nuruddin adalah satu pengiktirafan oleh beliau terhadap
kewibawaan ulama tersebut.
2)Budi
Pekerti
Bagi gagasan budi pekerti, ia lebih terarah kepada
akhlak seseorang itu. Namun demikian, unsur kesantunan masih lagi menjadi akar
kepada setiap perlakuan yang dihasilkan oleh seseorang individu itu. Menurut
Mohd Rashid Md. Idris (2011), budi pekerti adalah satu aspek atau tingkah laku
seseorang yang dinilai oleh masyarakat dari sudut baik dan buruk, atau halus dan
kasar. Kelakuan tersebut merangkumi kelakuan yang bersopan-santun, tertib dan
sebagainya. Nilai ini dapat diperhatikan dalam Syair Ken Tambuhan seperti contoh
di bawah:
Jika
ia dikasihi raja,
Tiadalah
ia melanja-lanja,
Tiadalah
menyombong pada bekerja,
Dengan
taulannya bersamaan sahaja.
(Sumber: Syair Ken Tambuhan)
Dalam
petikan di atas, diperlihatkan sifat raja yang mengasihi rakyat dan melayan
mereka sama rata. Hal ini demikian kerana, kebanyakan raja pada zaman dahulu
kebiasaannya mementingkan kedudukan dan memandang rendah terhadap rakyat. Oleh
yang demikian, dalam syair tersebut ditekankan sikap raja yang amat mengasihi
rakyat dengan menunjukkan budi pekerti yang baik.
3)Budi
Bicara
Pendefinisian budi yang seterusnya
pula lebih cenderung kepada unsur toleransi dan tolak ansur dalam setiap
perbuatan. Hal ini demikian kerana, kehidupan bermasyarakat yang mementingkan
nilai kerjasama bagi mewujudkan suasana yang harmoni dan aman. Dalam karya
agung Syair Ken Tambuhan dinyatakan bahawa Raden Menteri seorang suami yang
sanggup mencari buah pauh janggi keinginan isterinya yang sedang mengidam.
Walaupun hatinya berat untuk meninggalkan isterinya yang berbadan dua, namun
kerana kasih dan kasihan kepada isterinya, dia sanggup menghadapi sebarang
bahaya. Justeru, sewaktu dia meninggalkan isterinya dan istana, dia berpesan
dengan pesanan seperti berikut;
Ia berkata kepada ayah dan bonda,
Puteri sekalian
putera anakanda,
Jikalau ada satu bahaya anakanda,
Puteri sekalian
putera anakanda.
(Naskah
koleksi DBP: 133/2011)
Petikan
yang dinyatakan telah mencerminkan kepada pembaca bahawa nilai budi bicara ini
amat dekat dalam kehidupan masyarakat Melayu pada ketika dahulu. Malahan nilai
ini turut diterapkan dalam kehidupan berkeluarga khususnya.
4)Hati
Budi
Hati budi pula bolehlah dikaitkan dengan istilah
hati yang baik atau baik hati. Untuk melahirkan hati yang baik, seseorang itu
perlu diasuh sejak kecil kerana kesucian hati akan menentukan perlakuan yang
baik, tingkah laku yang bersopan dan akan dihindari daripada segala sifat-sifat
yang negatif dan buruk. Aspek ini juga tidak lupa diterapkan dalam karya klasik
Melayu. Sebagai contoh, ia dapat dilihat dalam petikan karya Bustan al-Salatin;
“kemudian dari itu maka kerajaan
Sultan Hussain ibn Sultan Alaudin yang bergelar Sultan Ali Riayat Syah, pada
hari ahad, sehari bualn Safar. Ialah sangat halm perangainya dan pengasih akan
segala rakyatnya akan segala ulama, syfakat akan segala fakir dan miskin.”
(Sumber: Bustan al-Salatin
(selenggaraan) Siti Hawa Hj Salleh, 1992)
Petikan
di atas menggambarkan seorang raja yang yang mempunyai hati budi yang baik yang
mana beliau sangat mengasihi rakyat jelatanya walaupun beliau terdiri daripada
golongan raja. Beliau sanggup menderma kepada rakyat yang memerlukan. Beliau
amat mengasihi rakyat jelata sehinggakan segala kesusahan rakyat diambil tahu.
5)Akal
Budi
Pertimbangan akal sangat diperlukan dalam kehidupan
seharian. Oleh yang demikian, melalui pertimbangan akal budi yang mementingkan
kewarasan fikiran ini akan menentukan sikap seseorang itu sama ada mampu untuk
bertanggungjawab dengan setiap perkara yang dilakukannya ataupun tidak.
Kebiasaannya dalam masyarakat dahulu nilai ini sangat dipentingkan supaya
seseorang individu itu mampu untuk mengurus diri, keluarga dan juga masyarakat.
Nilai ini ada diselitkan dalam karya agung yang terdahulu. Contohnya dalam
petikan yang berikut:
Namanya
Raden Puspa Kencana,
Lakunya
bijak laksana,
Akal
bicaranya amat sempurna,
Sifatnya
lengkap hamba laksana
(Sumber: Syair Ken Tambuhan,
2002: 5)
Pengarang
menerangkan dalam syair tersebut berkaitan watak Raden Puspa Kencana yang
sangat bijak dan cerdik. Hal ini terbukti apabila penyair menyatakan bahawa
tidak ada seorang yang dapat mengalahkan beliau jika diajak untuk lawan berdebat.
Nilai ini diselitkan dalam syair tersebut supaya mereka mencontohi sikap Raden
Puspa Kencana yang bijak bagi mengelakkan diri daripada ditindas oleh orang
lain.
*Falsafah
Bahasa
*Konsep
Falsafah bahasa merupakan gabungan dua perkataan,
iaitu falsafah dan bahasa. Namun kedua-dua entiti ini membawa kepada pemaknaan
yang berbeza sama sekali. Falsafah merupakan gabungan dua kata, iaitu istilah
Yunani philo (cinta) dan sophos (hikmat). Kebenaran dan keutamaan
kata yang dibawa oleh Phytogras ini dapat disimpulkan sebagai pencinta
kebijaksanaan. Bagi pendefinisian bahasa pula, merujuk kepada sistem lambang
dan bunyi suara yang dipakai sebagai alat perhubungan dalam lingkungan satu
kelompok manusia (Kamus Dewan Edisi keempat, 2010: 106).
Bagi Von Humboldt, iaitu seorang
sarjana Jerman bahasa didefinisikan sebagai sintesis bunyi (dalam Mohd Rashid
Md Idris, 2012: 8). Melalui pentakrifan yang dibuat dapat dinyatakan kesimpulan
bahawa bahasa adalah satu medium yang diguna pakai oleh masyarakat untuk
menyampaikan konsep atau lebih tepat lagi untuk berkomunikasi antara satu sama
lain. Namun demikian, penggabungan kedua-dua elemen ini dapat membawa kepada
sesuatu bentuk pengetahuan yang lebih unggul. Menurut Hashim Hj, Musa (1996),
bidang falsafah terbahagi kepada dua bahagian, iaitu falsafah linguistik dan
falsafah bahasa. Pembicaraan tentang falsafah linguistik merangkumi kepada
cakupan dasar falsafah dalam konsep dan istilah linguistik. Hal ini merujuk
kepada penelitian tentang kaedah dan amalan yang digunakan oleh ahli-ahli
linguistik deskriptif dalam disiplin mereka (Mohd Rashid Md Idris, 2012: 9).
Bagi falsafah bahasa pula, aspek ini meneliti dan memeriksa berasaskan falsafah
pengetahuan yang dipanggil conceptual
knowledge atau ilmu dalam bentuk konsepsi, yang wujud dalam fikiran secara
ilmu (knowledge), logik dan
sebagainya. Oleh hal yang demikian, dapat dirumuskan bahawa falsafah bahasa
merupakan bidang yang menelusuri tentang sesuatu aspek bahasa dengan
menggunakan konsep pengetahuan dan penggunaan dasar yang lebih mendalam bagi
mencari kebenaran dalam setiap aspek yang ingin dikaji.
*Teori
Falsafah Bahasa
Dalam falsafah bahasa ini, terdapat satu gagasan
teori yang dikaji oleh Mohd Rashid Md Idris, iatu teori falsafah bahasa yang
menggabungkan dua teori lain. Teori yang dimaksudkan adalah teori relatif dan
teori kenuranian bahasa. Menurut beliau, manusia mempunyai bahasa dan dapat
berfikir tetapi binatang tidak, kecuali dalam bentuk yang amat primitif dan
erat hubungannya dengan naluri binatang tersebut. Beliau menegaskan bahawa
manusia dianugerahi Allah S.W.T dengan bahasa dan akal semata-mata untuk
mengangkat martabat manusia sebagai makhluk ciptaan yang sebaik-baik kejadian.
Oleh yang demikian, beliau menggunakan kerelevanan idea tersebut untuk menggabungkan
kedua-dua teori tersebut kerana berpendapat kedua-dua unsur tersebut tidak
boleh difikirkan secara terpisah.
Dalam teori yang digunakan oleh
beliau, terdapat tiga bahagian yang dikemukakan, iaitu bulatan, anak panah (dua
hala) dan garisan putus-putus. Bahagian ini dapat dijelaskan dalam rajah di
bawah:
Rajah 1: Model Falsafah Bahasa
Berdasarkan
rajah di atas, tiga aspek yang ditonjolkan adalah bulatan yang bermaksud
keadaan yang mana memerlukan manusia untuk berbahasa secara sempurna, iaitu
dari aspek nahu, makna dan tujuannya. Bahagian kedua pula adalah anak panah
(dua hala) yang menggambarkan wujudnya hubungan langsung secara tersurat antara
penutur dan pendengar. Aspek yang terakhir adalah garisan putus-putus yang
memaparkan hubungan secara tersirat antara manusia dengan Maha Pencipta, iaitu Allah
(Mohd Rashid Idris, 2012: 43).
*Prinsip
Asas Pertama Dalam Teori Falsafah Bahasa: Berbahasa Mengikut Nahu
Secara umumnya, aspek ini menekankan tentang aspek
tatabahasa dan makna ketika seseorang penutur itu berbahasa. Misalnya dalam
karya agung Melayu yang menggunakan
bahasa untuk menyatakan sesuatu gambaran tentang kehidupan masyarakat Melayu.
Dalam sejarah Melayu misalnya, menceritakan tentang kemasukan agama Islam ke
Melaka, Sultan Muhammad Syah mengambil berat tentang tiga daripada lima Rukun
Islam (Haron Daud, 1989: 45). Contohnya:
“Hatta, maka hari pun asarlah; maka
datanglah kapal dari Judah. Serta ia… lalu ia bersembahayang di pantai Melaka
itu.”
Petikan
tersebut menggambarkan Saiyid Abdul Aziz mendirikan sembahyang dan mendapat
perhatian ramai. Penulis memfokuskan kepada makna yang sempurna daripada
petikan ayat tersebut yang menggambarkan perlakuan tersebut untuk menyedarkan
tentang kepentingan menunaikan solat.
*Prinsip Asas Pertama
Dalam Teori Falsafah Bahasa: Berbahasa untuk Menyampaikan Maklumat yang Benar
Dalam
berbahasa, penutur haruslah menyampaikan sesuatu maklumat yang benar dan tidak
berbaur fitnah. Misalnya dalam sejarah Melayu,
yang mana Hang Tuah difitnah oleh pembesar lain sehinggakan Hang Tuah
dijatuhkan hukuman bunuh. Dalam hal ini, pemfitnah tidak akan memperolehi
sebarang kebaikan malahan hanya akan merugikan diri sendiri. Malah Allah juga
ada berfirman:
“Wahai orang-orang beriman!
Bertaqwalah kamu kepada Allah dan ucapkanlah perkataan yang benar”
(dalam Mohd Rashid Mohd Idris surah al-Ahzab 33: 70)
*Penutup
Rumusannya, setiap karya atau penulisan pastinya
mempunyai idealisme dan falsafahnya yang tersendiri. Hal ini berkait rapat
dengan diri seseorang penulis itu sendiri. Setiap penulis mempunyai
kecenderungan tersendiri untuk mengaitkan penulisannya dengan falsafah dan
pemikiran tertentu, misalnya berkaitan dengan idealisme bersumberkan alam,
falsafah bersumberkan Islam, falsafah bersumberkan Melayu mahu pun falsafah
bahasa. Raja Ali Haji misalnya berkecenderungan mengaitkan penulisannya dengan
Islam, manakala Abdullah Munshi pula biasanya menulis karya yang tidak lari
daripada bahasa dan alam, iaitu dari aspek sosialisasi dan pelbagai lagi
kecenderungan penulisan dalam menyampaikan falsafah dan pemikiran mereka dalam
penulisan. Segalanya berkaitan dengan kehidupan manusia dan tidak lari dari
dimasukkan unsurnya di dalam sebuah penulisan yang menarik dan berkesan.
Sumber:
Sumber:
A. Samad Ahmad,
2003. Edisi Pelajar Sulalatus Salatin Sejarah Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa
dan Pustaka.
Abdullah bin Abdul
Kadir munsyi (diperkenalkan oleh Kassim Ahmad), 2004. Hikayat Abdullah.
Selangor Darul Ehsan: Utusan Printcorp Sdn. Bhd.
Mohd Rashid Md Idris (2012). Teori Falsafah Bahasa
(Teori Rashid). Perak:
Universiti
Pendidikan Sultan Idris
Mortimer Jerome
Adler, 2007. Sebuah Leksikon Pemikiran Barat Gagasan Agung. Kuala Lumpur:
Institut Terjemahan Negara Malaysia Berhad.
Haron Daud (1989). Sejarah Melayu: Satu Kajian Daripada
Aspek Pensejarahan Budaya. Dewan Bahasa Dan Pustaka: Selangor.
Hashim Hj. Musa (1994). Pengantar
Falsafah Bahasa. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.
Raja Ali Haji (Dikaji dan Diperkenalkan
Oleh: Hashim Musa), 2010. Kitab Pengetahuan Bahas Yayasan Karyawan: Kuala
Lumpur
Siti Hawa Haji Salleh
(Penyelenggara), 1992. Bustan Al-Salatin. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka.
Syair Ken Tambuhan.Dikaji Oleh:
Nuruddin Alraniri.Noriah Mohamed Et.Al:Kuala Lumpur: Yayasan Karyawan Dan Dewan
Bhasa Pustaka
Ungku Abdul Aziz Ungku Abd
Hamid.( 2011). Pantun Dan Kebijaksanaan Akal Budi Melayu. Dewan Bahasa Dan
Pustaka: Kuala Lumpur.
assalamualaikum... salam perkenalan. terima kasih di atas perkongsian ilmu yang berguna ini.Mohon share untuk rujukan ye. terima kasih.
ReplyDelete